‘Antrabez’ – Band Dianggotai Bekas ‘Sampah Masyarakat’


INSAF dengan apa yang berlaku ke atas diri mereka, lapan banduan menubuhkan satu kumpulan muzik bagi menghiburkan penonton dengan lagu popular mereka mengenai bahaya dadah.

Kesemua banduan ini merupakan penghuni Penjara Kerobokan, Bali, Indonesia menggelar diri mereka sebagai Anak Tirai Besi atau Antrabez.

Kumpulan yang ditubuhkan pada Julai lalu dianggotai enam banduan lelaki dan dua banduan wanita iaitu Oktav, Rifa, Milky, Firdaus, Ronald, Febri, Tantri dan Shila.

Kesemua mereka dihukum penjara antara tiga bulan hingga empat tahun atas kesalahan berkaitan najis dadah.

“Kami tidak kisah orang di luar sana memanggil kami sampah masyarakat.

“Kadang-kala sampah juga berguna. Apabila kita mengkitar semula sampah ia boleh menjadi barangan yang lebih baik,” kata pemain gitar Antrabez, Oktav dipetik dari Berita MediaCorp Singapura.

Tambah Oktav, 35, sebagai sebuah band banduan, mereka berdepan cabaran dalam mencari masa untuk berkumpul bersama bagi menjalani latihan memandangkan anggota mereka terdiri daripada banduan lelaki dan wanita.

Pun begitu, mereka tetap berusaha mencari dana yang cukup bagi mengeluarkan album mereka yang berjudul ‘Time To Change’. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA