Antara Keluhan dan Kepercayaan, Mana Satu Rakyat Nak Percaya?

Rakyat di setiap lapisan masyarakat di negeri ini semuanya begitu teruja untuk mengetahui perkembangan terkini berkenaan rundingan penurunan kuasa antara Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang dilaporkan telah pun bermula beberapa bulan lepas.

Namun kini, rakyat mula terbeban untuk memahami retorik; antara keluhan yang diluahkan kepimpinan negeri dan kepercayaan yang menjadi teras rundingan tersebut.

Bila pemimpin mengeluh kekecewaan, apakah rakyat akan mempercayai rundingan itu berjalan dengan baik?

Pastinya rakyat bukan bodoh untuk percaya kononnya rundingan tersebut sangat positif, sedangkan pada masa sama pemimpin-pemimpin bersilih ganti melahirkan kekecewaan.

Malah pada satu kenyataan, para pemimpin negeri mengatakan mereka sudah bosan meminta dan berunding dengan kerajaan pusat. Ironinya mereka juga menyatakan rundingan serta permintaan mereka kepada kerajaan pusat sangat positif.

Kenyataan yang mana satu rakyat nak percaya?

Rakyat cuma mahu pihak kerajaan berterus terang, rakyat biasa tentunya tidak berminat terhadap kenyataan yang berbelit-belit.

Itulah antara punca mengapa ramai kalangan rakyat yang kecewa bila kerajaan negeri mengumumkan tidak akan meluluskan resolusi berkaitan hak Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Rakyat kecewa bukan kerana tidak percaya pada Adenan atau Najib untuk duduk berbincang, tapi rakyat sudah bosan dengan kenyataan yang tidak konsisten dan berbelit-belit.

Samada pemimpin itu dari parti pembangkang atau parti pemerintah, rakyat hanya melihat pada satu kenyataan sahaja; apakah perjuangan serta kenyataan mereka konsisten?

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA