Anak Muda Perlu Kuasai Bidang Sains Data - PM


KUALA LUMPUR: Anak muda Melayu perlu menguasai bidang teknologi dan maklumat termasuk Sains Data bagi memastikan bangsa Melayu mampu menghadapi cabaran era globalisasi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga perlu dikuasai bagi melengkapkan diri menjadi golongan profesional seperti saintis yang amat diperlukan pada masa depan.

"Kita sudah sampai tahun milenium baharu yang menuntut dunia berubah ke arah revolusi industri keempat. Kita mesti sediakan anak-anak kita bagaimana menangani cabaran dunia baharu supaya dalam era globalisasi ini, kita tidak terpinggir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-62 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Najib yang juga penaung GPMS memberi contoh lawatannya ke China baru-baru ini yang menyaksikan penggunaan sistem digital ekonomi yang dipanggil '310' bagi membuat permohonan pinjaman bank.

"Sistem ekonomi digital (310) merujuk kepada permohonan diproses melalui komputer berdasarkan data besar. Dalam masa tiga minit pinjaman diluluskan, dimasukkan dalam akaun kita dalam satu minit dan kosong (0) maksudnya tidak ada ruang hubung kait dengan manusia," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata GPMS merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang relevan bagi meniup semangat pelajar Melayu untuk menyumbang kejayaan dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara.

Najib berkata, beliau mahu GPMS menjadi peneraju utama dalam menggerakkan Transformasi Nasional (TN50) yang merupakan dasar futuristik bagi mencorak hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.

"Saya nak dengar suara hati orang muda bermula daripada 30 tahun akan datang, bermula orang muda hari ini kerana mereka lah kumpulan penentu bagaimana TN50 nanti dan saya minta GPMS menjadi badan utama yang menggerakkan (TN50)," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA