Ambil Cuti Demi Anak


KUALA LUMPUR: Seorang bapa, Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed, 49, sanggup mengambil cuti sepanjang peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) berlangsung demi menemani anaknya yang cedera akibat kemalangan jalan raya.

Shamil, 17, calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki, di sini, patah peha dan tangan kanan selain retak di tangan kiri selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan ketika pulang dari tuisyen, Ogos lalu.

Abdul Kadir berkata, kemalangan itu menyebabkan anak ketiganya itu dimasukkan ke hospital lebih sebulan dan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan menghadapi peperiksaan SPM.

Katanya, meskipun masih dalam rawatan, Shamil tidak mengalah dan bersemangat mengulangkaji pelajaran bagi memastikan dia dapat menduduki peperiksaan berkenaan.

"Tangan serta peha kanan Shamil masih belum sembuh sepenuhnya dan dia dikategorikan sebagai calon peperiksaan separa kurang upaya selain perlu bertongkat untuk bergerak.

“Keadaan itu sedikit sebanyak menggusarkan hati kami sekeluarga kerana bimbang dia tidak selesa ketika menjawab peperiksaan yang mengambil masa lama.

“Namun, saya syukur kerana selepas kertas pertama berakhir pagi tadi, Shamil bersemangat dan tidak merungut mengenai keadaan kesihatannya," katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA