Aktivis Kanak-Kanak Hope2Walk Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak pesakit lumpuh otak An-Nur Mohd Affandi aktif memperjuangkan kempen 'Hope2Walk' sejak tahun 2012, meninggal dunia tengah malam, Khamis.

Sukarelawan kempen Hope2Walk Faizal Riduan ketika dihubungi Bernama berkata An-Nur, 13, menghembuskan nafas terakhir 12.58 tengah malam, Khamis.

"Jenazah selamat dikebumikan sebelum solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang," katanya.

Menurut Faizal, An-Nur dan kakaknya, Annisa yang juga mengalami penyakit sama, telah menarik minat masyarakat prihatin untuk menyumbang dana bagi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Erkang, Beijing, China pada 2012.

"Bagaimanapun, Annisa meninggal dunia beberapa bulan sebelum rawatan berkenaan bermula," katanya.

Kisah perjuangan hidup kedua-dua cahaya mata Mohd Affandi Ramli dan isterinya Raja Rohaisham Raja Muhaiddin itu turut didedikasikan dalam buku 'Surat Untuk Anak', katanya.

Pada Oktober 2013, An-Nur bersama-sama aktivis Hope2Walk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen bagi menuntut hak bersekolah untuk kanak-kanak sakit terlantar.

Kanak-kanak itu juga pernah membintangi drama dokumentari, 'Annur Nak Sekolah' untuk Freedom Film Fest 2014. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA