Agama Anak Kekal Jika Ibu Atau Bapa Masuk Islam


KUALA LUMPUR: Agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seorang daripada mereka memeluk Islam, kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

Perkara itu termaktub dalam pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.

Menerusi pindaan akta itu yang terkandung dalam Seksyen 88A (seksyen baharu), penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan perlu mendapat persetujuan ibu bapa anak terbabit.

Menerusi pindaan berkenaan, seksyen baharu iaitu 51A diwujudkan yang menetapkan jika seorang daripada pasangan memeluk Islam dan meninggal dunia sebelum perkahwinan mereka dibubarkan, mahkamah berkuasa membahagikan aset perkahwinan pasangan terbabit.

Pasangan bukan Islam turut mempunyai hak memfailkan perceraian di mahkamah sivil dan menuntut nafkah, hak jagaan anak, pembahagian aset perkahwinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika mengemukakan usul di Dewan Rakyat hari ini, berkata bacaan kali pertama pindaan Akta 164 dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini dan bacaan kedua akan dibacakan dalam sidang akan datang. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA