Adenan Puji Pencapaian SAINS


Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memuji Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) bagi pencapaian diraihkannya buat Sarawak dan syarikat itu sendiri bagi tempoh 25 tahun lepas.

Beliau berkata SAINS telah memacu penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kerajaan negeri daripada pada tahap terendah kepada antara yang tertinggi di Malaysia ketika ini, sekali gus meningkatkan keefisienan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awamnya.

"Sarawak terkenal dengan penduduknya yang mesra dan peramah dan berbakat serta kaya dengan sumber asli dan amat gigih menjalankan perniagaan," katanya pada majlis makan malam gala SAINS bersempena sambutan ulang tahun ke-25 syarikat itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah.

Majlis makan malam itu turut dihadiri tetamu asing daripada New Zealand, Australia, Papua New Guinea, Filipina, Brunei Darussalam, Myanmar, China, Qatar dan Guinea, selain daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah, yang merupakan pelanggan SAINS dan bakal pelanggan baharu serta rakan kongsi dalam usahasama saluran dan teknologi tempatan.

Ketua menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka kerana memilih untuk menjalankan perniagaan ICT dengan Sarawak, sambil berharap selain daripada menjalankan perniagaan ICT dengan negeri ini, mereka turut menyebarkan kepada rakan di negara masing-masing mengenai pengalaman mereka di Sarawak.

"Tiada apa yang lebih baik selain daripada kita saling mencapai hasil menang-menang menerusi usahasama mesra jangka panjang," katanya.

Sehubungan itu, Adenan berharap SAINS akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk mencari cara bagaimana untuk mengoptimumkan bidang-bidang usahasama, termasuk dalam program teknousahawan ICT dari rumah luar bandar, penjagaan kesihatan bagi memupuk pertumbuhan ekosistem (CHANGE), maklumat bersepadu, berkualiti, saksama menerusi pembelajaran bagi kawasan Luar Bandar atau 'Library in a Box'.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA