Adakah Bersih 5 Dibenarkan Di Panggung Udara?


KUCHING: Selepas gagal mendapatkan kebenaran mengadakan Perhimpunan Bersih 5 di Padang Merdeka dan Padang Song Kheng Hai, Jawatankuasa Bersih 5 Sarawak kini merancang untuk menggunakan Panggung Udara, Jalan Budaya sebagai venue terbaru perhimpunan aman tersebut pada 19 November ini.

Naib Pengerusi Bersih Sarawak, Ann Teo berkata, pihaknya akan menghantar notis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk memohon kebenaran menggunakan venue ketiga tersebut.

Sebelum ini menurutnya, permohonan untuk menggunakan Padang Merdeka sudah dibuat namun ditolak dan kebenaran diberikan untuk menggunakan Stadium Negeri ini.

"Namun kita tidak memohon untuk menggunakan stadium kerana kita merasakan tidak sesuai untuk mengadakan perhimpunan selain menyukarkan orang ramai untuk menyertai. Begitu juga permohonan kita untuk menggunakan Padang Song Kheng Hai turut ditolak tanpa sebarang alasan.

"Jadi kita memutuskan untuk menggunakan Panggung Udara sebagai tapak baharu perhimpunan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ann menegaskan, objektif Bersih 5 diadakan adalah untuk menyampaikan mesej mengenai keperluan pembentukan institusi, kebebasan bersuara selain kebebasan berpersatuan dan mengadakan perhimpunan aman.

"Bersih 5 akan berlangsung bermula 4 petang hingga 10 malam. Penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti kepada mereka yang hadir termasuk ceramah, pementasan dokumentari pendek, muzik dan puisi," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA