8 lanun mengaku salah rompak MT Orkim Harmony

KOTA TINGGI: Dua lelaki warga negara Indonesia dihukum penjara 18 tahun, manakala enam lagi dihukum penjara 15 tahun dengan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak kapal MT Orkim Harmony, tahun lalu.

Hakim Salawati Djambari membuat keputusan itu selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan kes serius membabitkan rompakan bersenjata yang terancang.

Semua tertuduh dikenali sebagai Ruslan, 63; Kurniawan, 50; Hendry Andaria, 40; Randy Aditya, 20; Anjas, 28; Jhon Dantek Despol, 39; Abner Loit, 29; Fauji Adha,28.

Mereka didakwa merompak secara berkumpulan kapal MT Orkim Harmony milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd, di lokasi 12.4 batu nautika dari Pulau Tokong Yu, di perairan Malaysia, kira-kira jam 9 malam pada 11 Jun tahun lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama. Mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali oleh enam Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Mohamad Abazafree Mohd Abbas. Terdahulu lapan suspek terbabit yang ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam menjalani proses ekstradisi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), 6.14 pagi tadi.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Jun 2015, kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa 22 anak kapal dengan 5,878 metrik tan petrol bernilai kira- kira 11 juta dilaporkan hilang di perairan Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi.

Kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang dikesan berada di perairan Kemboja dalam keadaan selamat dan ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon' serta serombongnya dicat dengan warna hitam pada 18 Jun 2015.

Pada 19 Jun 2015, lapan suspek ditahan oleh pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam ketika cuba meloloskan diri daripada pemburuan ketika kapal MT Orkim Harmony dikesan. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA