75,000 Kanak-kanak Nigeria Menunggu Mati


Nigeria – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi araman bahawa 75,000 kanak-kanak Nigeria kini kebuluran dan berisiko menemui ajal beberapa bulan lagi kesan daripada pemberontakan kumpulan Boko Haram.

Militan Boko Haram mencetuskan banyak kemusnahan di timur laut Nigeria sejak mereka mengangkat senjata dan memerangi kerajaan pada 2009 dengan berjuta-juta orang menjadi pelarian, manakala aktiviti pertanian serta perniagaan tergugat.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari berjaya menguasai semula wilayah tersebut tetapi pemberontakan Boko Haram telah mengakibatkan banyak kematian dengan lebih 20,000 orang terbunuh dan 2.6 juta hilang tempat tinggal.

Nasib mereka bertambah malang apabila dibelenggu kebuluran.

Penyelaras Kemanusiaan PBB, Peter Lundberg berkata, krisis itu merebak dengan cepat.

“Penilaian kami mendapati bahawa 14 juta orang dikenal pasti sebagai memerlukan bantuan kemanusiaan menjelang 2017,” beliau memberitahu wartawan di ibu kota Nigeria, Abuja.

“Daripada angka tersebut, 400,000 kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal dan amat memerlukan bantuan, manakala 75,000 akan mati beberapa bulan lagi (tanpa bantuan),” kata Lundberg.

PBB berharap akan dapat menghulurkan bantuan kepada separuh daripada 14 juta rakyat Nigeria itu dengan kerajaan membantu bakinya.

Namun, kata Lundberg lagi, PBB tidak mempunyai wang mencukupi untuk menghalang krisis kemanusiaan di Nigeria dan meminta rakan kongsi antarabangsa, sektor swasta serta dermawan tempatan supaya turut serta bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kami perlu penyertaan sektor swasta, dermawan-dermawan di Nigeria.

“Kami akan meminta rakan kongsi antarabangsa supaya tampil kerana masalah ini hanya dapat diselesaikan apabila kita bekerjasama,” tambahnya. – AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA