6,951 filem lucah, 461,405 filem tidak bertapis dirampas 2012-2016

SIMUNJAN: Sebanyak 6,951 filem lucah dan 461,405 filem tidak bertapis keseluruhan bernilai RM1.79 juta berjaya dirampas bagi tempoh 2012 hingga tahun ini di Sarawak.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri yang memberitahu ia hasil kesungguhan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam melaksanakan tanggungjawab.

Malah, katanya lagi, bagi tempoh tersebut, seramai 79 individu telah didakwa di mahkamah bersabit dengan kesalahan di bawah Akta Penapisan Filem 2002.

“Kita dapat lihat kesungguhan KDN melaksanakan tanggungjawabnya yang mana bagi tempoh 2012 hingga 2016, kementerian telah berjaya merampas sebanyak 6,951 filem lucah dan 461,405 filem tidak bertapis di negeri Sarawak. Kejayaan rampasan ini dianggarkan bernilai RM1,794,122,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Pendidikan dan Pencegahan ‘Juh Gi Munjan’ di Dewan Mesra Simunjan di sini baru-baru ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, dalam usaha memerangi jenayah itu, KDN turut menggunakan pendekatan mendidik masyarakat melalui pelbagai medium pelaksanaan program pendidikan dan pencegahannya.

“Pendekatan yang telah dimulakan sejak 2011 telah berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab bersama untuk membanteras filem-filem lucah dan tidak bertapis.

“Justeru, saya melihat program ‘Juh Gi Munjan’ yang menjadi sebahagian daripada program pendidikan dan pencegahan KDN bagi tahun ini, adalah sangat istimewa kerana ia dilaksana melibatkan lebih daripada satu agensi kerajaan dan turut dibantu oleh agensi-agensi bukan kerajaan,” katanya lagi.

Pada masa sama beliau memberitahu kepelbagaian aktiviti yang diselitkan dalam program itu membolehkan semua lapisan masyarakat di Simunjan terlibat mengikut kesesuaian masing-masing.

“Namun lebih utama bagi pelaksanaan program ini tentulah melihat kepada impaknya dalam meningkatkan pengetahuan dan kerjasama masyarakat untuk membenteras filem-filem lucah dan tidak bertapis,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Timbalan Setiausaha Bahagian (Operasi) KDN Hairuddin Abdullah, Pengarah Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Ahmad Hilmi Said dan tetamu kehormat lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA