5,582 Di Sarawak Ditangkap Pelbagai Kesalahan Dadah Tahun Ini


KUCHING: Polis berjaya menahan seramai 5,582 individu di negeri ini yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah sepanjang tahun ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Sarawak ACP Lukas Aket, pihaknya menahan kesemua individu terbabit yang terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya termasuk pengedar dan individu-individu yang positif melalui ujian air kencing disebabkan pengambilan bahan larangan terbabit.

“Dalam tempoh sama, pihak kami telah menyita sebanyak RM2.7 juta harta benda pesalah kes dadah sepanjang tahun ini dan seramai 23 individu ditahan langkah-langkah pencegahan khas,” katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Beliau menambah usaha PDRM dalam membanteras serta mengurangkan kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini telah membuahkan hasil.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor menyarankan agar semua ibu bapa mengawasi dan memastikan pergaulan anak-anak terutamanya anak gadis awal 20an dari terjebak mangsa penyalahgunaan dadah sebelum terlambat.

Terdahulu, Mazlan menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas KJSJN Sarawak di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Sarawak antara ACP Lukas Aket yang akan memulakan tugas sebagai KJSJN Johor mulai minggu hadapan dan DSP Sekam Anoi yang memangku jawastan tersebut sehingga ketibaan KJSJN Sarawak baharu.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA