45 Projek Kecil Di Pantai Damai Tahun Depan


KUCHING: Sebanyak 45 projek infrastruktur kecil dengan kos RM5 juta dirancang untuk dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek terbabit dijangka dilaksanakan bermula awal tahun depan.

"Akan (projek) dilaksanakan Januari dan tamat sekitar Disember tahun depan melibatkan 45 projek dengan kos RM5 juta," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pasaria Sekolah Kebangsaan ( SK) Pulo 2016, Pesta Memasyarakatkan PIBG SK Pulo di sekolah tersebut, semalam.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) berkata, kebanyakan projek tersebut adalah keperluan masyarakat di kawasan DUN Pantai Damai.

“Saya meletakkan sebanyak 40 lebih (projek), malah sememangnya setiap tahun saya mencadangkan jumlah tersebut supaya sekurang-kurangnya setiap kampung ada satu projek, ada yang mungkin dapat dua, tiga dan sebagainya.

“Bagi peruntukan pula, ia adalah hasil agihan sebanyak RM500 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) khusus untuk RTP bagi seluruh negeri Sarawak dan DUN Pantai Damai menerima RM5 juta daripada jumlah tersebut, begitu juga dengan kawasan DUN yang lain,” ujarnya.

Antara projek yang tersenarai di bawah rangka cadangan itu termasuk membina dewan masyarakat, membina semula surau uzur dan daif, membina jambatan, titi, pangkalan nelayan, padang sukan, futsal, bola sepak serta gelanggang sepak takraw.

“Antara yang menjadi keutamaan kita ialah membaik pulih atau membina semula Tadika KEMAS dan Tadika Perpaduan di kawasan Pantai Damai yang berada dalam keadaan amat menyedihkan, uzur serta daif.

“Selain itu, kita juga akan menambah baik sekolah-sekolah termasuk membina jalan susur untuk kegunaan pelajar di SK Pulo dan beberapa projek berkaitan lain,” katanya.

Beliau turut memberitahu, untuk 2015 dan 2016, hampir 100 peratus projek yang direncana telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual.

“Kebanyakan projek kita pada tahun 2015 dan 2016 mengikut jadual dan kebanyakannya mendapat maklum balas begitu baik daripada masyarakat kampung kerana mereka sememangnya memerlukan projek-projek ini,” jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA