41 Orang Asli Pos Kemar Positif Malaria


PUTRAJAYA: Seramai 41 Orang Asli Pos Kemar, Gerik, didapati positif malaria sehingga semalam, dengan tiga kes terbaru dikesan pada Rabu lalu.


Ia membabitkan 24 kes yang dihidap oleh lelaki, manakala 17 kes adalah wanita, dengan 24 kes dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes berkenaan adalah malaria spesies Plasmodium vivax (P. vivax).

"Seramai 334 penduduk sudah menjalani ujian slaid darah. Sebanyak 20 kes dimasukkan ke wad di Hospital Gerik, manakala 21 kes lagi akan dirujuk ke hospital hari ini untuk tujuan rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, berikutan kes terbaru itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak memulakan aktiviti saringan terhadap kontak dan semua penduduk dalam lingkungan dua kilometer radius dari tempat kes itu berlaku.


"Sehingga hari ini, sebanyak 90 daripada 317 rumah di kawasan wabak sudah diedarkan kelambu berubat.

"Selain itu, aktiviti semburan residu turut dijalankan di 40 buah rumah bertujuan untuk mengawal nyamuk Anopheles iaitu vektor untuk penyakit malaria," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA