300 Pekerja Kilang Ikan Dikhuatiri Hilang Pekerjaan



TAWAU – Sekurang-kurangnya 300 pekerja kilang ikan di sini dikhuatiri hilang pekerjaan jika lapan kilang terpaksa ditutup sekiranya tiada bekalan ikan yang mencukupi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pemilik kilang ikan Al-Nur Marketing, Ali Alwi berkata pihaknya mengalami kesukaran mendapatkan bekalan ikan selepas nelayan takut ke laut susulan insiden penculikan di perairan daerah Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone).

Menurutnya selama ini, kilang itu mendapat bekalan daripada nelayan di Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Tawau.

“Namun kes penculikan yang kerap melibatkan nelayan Indonesia yang mendominasi pekerjaan itu terutama di daerah Lahad Datu dan Kunak, menyebabkan rakan mereka takut ke laut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Malah, katanya, peringatan Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau agar nelayan warganya di Esszone iaitu Kunak, Lahad Datu, Semporna dan Tawau, supaya menghentikan sementara kegiatan menangkap ikan di perairan itu, turut memberi kesan.

“Kita hormati peringatan itu, namun kita turut terkesan dengan perkara tersebut sekali gus memberi impak besar kepada sektor perikanan dan bekalan ikan kepada lapan kilang di sini termasuk kilang saya,” katanya yang mengakui sukar untuk kilangnya beroperasi jika tiada bekalan.

Beliau berkata sebelum ini kilangnya mampu menyediakan 400 tan metrik ikan sebulan untuk pasaran Sabah dan Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Namun situasi ketika ini menyebabkan bekalan semakin berkurangan dan bekalan di kilang saya dianggarkan tinggal 50 tan metrik (ikan jenis beku) sahaja…ia hanya boleh bertahan sehingga pertengahan bulan depan,” katanya.

Susulan kebimbangan itu, Ali meminta kerajaan negeri mempercepatkan pembukaan semula pintu masuk perdagangan antara Tawau-Indonesia khusus untuk perdagangan ikan sahaja.

“Perdagangan dua hala ini akan memberi memanfaat kepada kedua-dua negara sekali gus masalah bekalan ikan dapat ditangani,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Nelayan Semporna, Salleh Abdul Salleh mempunyai pandangam berbeza dan berkata peringatan KRI Tawau kepada nelayan Indonesia itu tidak menjejaskan secara keseluruhan industri perikanan di Esszone.

Beliau berkata penduduk masih boleh mendapatkan bekalan ikan hasil daripada tangkapan nelayan pesisir pantai.

“Apa yang terjejas adalah hasil tangkapan ikan daripada nelayan laut dalam, tetapi ia juga akan memberi kesan jangka panjang yang baik kepada ekosistem ikan iaitu pembiakan lebih banyak ikan di laut dalam,” katanya lagi.

Sementara itu, pemilik sebuah restoran di Tawau, Tamrin Jamil berkata adalah menjadi kebimbangan sekiranya berlaku kekurangan bekalan ikan di pasaran kerana restoran yang dibukanya itu berasaskan makanan laut.

“Tetapi setakat ini, tiada masalah bekalan ikan dan setiap hari saya membeli 50 kilogram ikan dari pasar,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di Kunak mendapati penduduk daerah itu merungut dengan kenaikan harga ikan berikutan bekalan terhad yang diperoleh di daerah itu.

Suri rumah yang ingin dikenali sebagai Nur, 35, berkata harga sekilogram ikan kembung meningkat kepada RM8.50 berbanding RM6 sebelumnya manakala ikan bilis berharga RM6 yang dulunya hanya RM3. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA