3 Pingat Emas Sasaran Kontinjen Silat Sarawak


KUCHING: Tiga pingat emas menjadi sasaran kontinjen silat Sarawak pada Festival Kombat Antarabangsa yang berlangsung di Pulau Pinang pada 1 hingga 4 Disember depan.

Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) Fazruddin Abdul Rahman berkata, lapan pesilat yang mewakili Sarawak akan mengambil bahagian dalam tujuh kategori.

Tujuh kategori yang disertai merangkumi B Putra, D Putra, F Putra, G Putra, I Putra, D Puteri dan Ganda Putra.

"Sasaran kita pada festival ini adalah untuk meraih tiga pingat emas," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bendera kepada kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan bendera kepada Fazruddin.

Menurut Fazruddin, festival tersebut juga sebagai salah satu platform untuk memberi pendedahan kepada empat pesilat Sukan Malaysia (SUKMA).

Dalam perkembangan berkaitan, Fazruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pada masa ini beberapa pertandingan peringkat tempatan sedang giat diadakan termasuk di Kuching, Miri dan Sibu.

"Ini adalah langkah untuk mencungkil bakat pesilat baharu dan pada masa sama memilih wakil untuk mewakili Sarawak pada pertandingan peringkat kebangsaan.

"Kita juga berharap ada wakil Sarawak mewakili negara termasuk untuk Sukan Sea akan datang," ujarnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA