3 pendaki terkandas di Gunung Serapi diselamatkan

KUCHING: Angkara seorang daripada rakan terpisah, tiga pendaki terpaksa memanggil khidmat bomba untuk menurunkan mereka yang terkandas di Gunung Serapi, dekat sini kelmarin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Muhammed Mirza Dzalmira Miraj, pihaknya telah menerima panggilan daripada salah seorang pendaki pada sekitar jam 8.50 malam bagi melaporkan bahawa seorang daripada mereka telah sesat dan terpisah.

Bagaimanapun, katanya pendaki yang sesat dan terpisah itu rupa-rupanya sudah turun dari gunung berkenaan dengan bantuan renjer perhutanan Taman Negara Kubah.

“Sekumpulan dua lelaki dan dua perempuan telah mendaki Gunung Serapi namun seorang daripada mereka telah sesat dan terpisah.

“Sebaliknya, pendaki yang dilaporkan sesat itu sudah turun dari gunung menyebabkan tiga yang lain terkandas kerana masih berada di ‘View Point’,” katanya.

Ekoran itu, katanya empat anggota bomba bersama dua renjer perhutanan Taman Negara Kubah terpaksa naik ke gunung tersebut bagi membantu mereka yang terkandas.

“Semua mereka tidak mengalami kecederaan tetapi terkandas disebabkan kesukaran bergerak memandangkan ketiadaan bantuan alat pencahayaan,” katanya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA