25 Fakta Trump, Malaysia Dan Amerika Syarikat


1. Malaysia pada hari ini tidak dapat dinafikan lagi berada pada posisi yang cukup unik dalam persaingan tampuk kekuasaan global – antara ‘pivot’ Amerika Syarikat (AS) dan ‘OBOR’ China. AS sejak 2011 telah mengumumkan ‘Paksi Asia’ dalam memfokuskan kembali komitmen Washington di rantau Asia Timur selepas sekian lama terbelenggu dengan krisis di Timur Tengah. China pula telah bertindak balas dengan mengisytiharkan gagasan OBOR (One Belt, One Road) yang merangkumi Laluan Sutera Daratan dan Laluan Sutera Maritim Baru pada 2013.

2. Pada 2016, Parlimen Malaysia telah meluluskan usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) selepas perbahasan sidang khas selama dua hari di Dewan Rakyat dan dalam tahun yang sama turut meluluskan penyertaan dalam inisiatif Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) oleh China.

3. Walau bagaimanapun, kemenangan calon Presiden Republikan, Donald J. Trump dalam pilihan raya Presiden AS baru-baru ini mengundang persoalan berkenaan hala tuju geopolitik antarabangsa dalam tempoh lima tahun mendatang. Hal ini termasuklah nasib TPPA itu sendiri di samping prospek hubungan bilateral AS-Malaysia di bawah pentadbiran beliau dalam dimensi perdagangan, pelaburan, dan pertahanan.

4. Dari segi perdagangan, Malaysia sememangnya memiliki hubungan rapat dengan AS. Pada 2015 sahaja nilai eksport Malaysia ke AS bernilai RM73.7 bilion, iaitu destinasi eksport keempat terbesar buat Malaysia.

5. Pola peningkatan jelas ditunjukkan apabila jumlah perdagangan kedua-dua negara melonjak daripada RM116.78 bilion pada 2014 kepada RM129 bilion pada 2015. Selain daripada barangan elektrik dan elektronik, eksport Malaysia ke AS turut diperkukuhkan dengan produk sarung tangan getah, perabot kayu bilik tidur, komponen semikonduktor, peralatan optik dan saintifik, serta peralatan pengangkutan (seperti komponen kapal terbang).

6. Malah, pasaran Malaysia juga penting buat AS sebagaimana nilai import yang meningkat daripada RM52.37 bilion pada 2014 kepada RM55.33 bilion pada 2015. Peningkatan import AS ke Malaysia dapat dilihat dari segi barangan elektrik dan elektronik, kimia dan produk berasaskan kimia, serta mesin jentera.

7. Nilai pelaburan AS di Malaysia juga cukup konsisten iaitu mencapai RM4.1 bilion pada 2015, RM1.3 bilion (2014), RM6.3 bilion (2013), RM295 juta (2012), RM2.5 bilion (2011), dan RM11.7 bilion (2010).

8. Walau bagaimanapun, China adalah merupakan rakan dagang yang lebih besar buat Malaysia dengan nilai dagangan sebanyak RM230 bilion dan RM1.8 bilion pelaburan pada 2015 sahaja.

9. Berdasarkan pola dan fakta statistik ‘diplomasi komersial China’ ini, pentadbiran Trump perlu untuk mempertimbangkan semula intonasi nasionalistik beliau yang berkempen untuk ‘mengembalikan’ peluang pekerjaan kepada warga AS – sama ada dengan mengurangkan pelaburan ke luar negara mahupun mengenakan halangan perdagangan yang tidak perlu.

10. Malaysia turut diketahui terlibat aktif dalam merundingkan kandungan TPPA sejak sekian lama dengan AS dan 10 negara lain agar ia memihak kepentingan nasional. Hasilnya, sebagaimana menurut analisis kos-faedah Pricewaterhouse Coopers (PwC) Disember 2015, Malaysia bakal memperoleh dapatan sebesar USD200 bilion dalam tempoh sembilan tahun pelaksanaan TPPA. Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga dijangka melonjak dari USD107 bilion kepada USD211 bilion dari tahun 2018-2027 disebabkan peluang pertumbuhan pelaburan dan akses pasaran yang jauh lebih mudah di bawah TPPA – 90 peratus pengurangan tarif dari AS, 95 peratus dari Kanada, 77 peratus dari Mexico, dan 81 peratus dari Peru.

11. Walau bagaimanapun, sewaktu sepanjang kempen pilihan raya beliau, Trump menegaskan bahawa beliau menolak kandungan TPPA yang telah dipersetujui terbabit. Perlu diketahui bahawa selain TPPA, Trump turut menolak Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Tengah (CAFTA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA). Hal ini kerana TPPA dilihat kurang menguntungkan sektor pengeluaran AS dan paling minimum sekalipun beliau berkemungkinan besar mempertimbangkan untuk menyemak semula beberapa kandungan perjanjian terbabit.

12. Namun demikian, Trump perlu mempertimbangkan beberapa kemungkinan. Pertamanya adalah kemungkinan Kongres bertegas untuk meluluskan TPPA hasil lobi pengeluar produk ternakan, peladang, dan sektor kewangan di AS sendiri yang mendukung perjanjian berkenaan.

13. Kedua ialah peringatan Wakil Perdagangan AS Michael Froman pada Julai 2016 bahawa pemansuhan TPPA bakal ‘menyerahkan kunci ke istana globalisasi’ kepada China, dan juga kenyataan Presiden Barack Obama pada Mei 2015 bahawa tanpa TPPA, China akan mengambil alih posisi AS untuk menulis peraturan perdagangan antarabangsa.

14. China kini sememangnya giat merundingkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) di rantau Asia. Berbeza dengan TPPA yang dianggotai 12 negara, RCEP pula melibatkan rundingan yang masih berlangsung antara 16 buah negara – dengan China dan India sahaja sudah pun menyediakan pasaran sebesar 2 bilion populasi. Akumulasi nilai penyertaan dalam RCEP juga adalah melibatkan 40 peratus nilai dagangan global. Dari segi integrasi pula, selain melibatkan kesemua 10 negara anggota ASEAN, RCEP turut melibatkan kuasa utama Asia Timur – China, Jepun, dan Korea Selatan – di samping Australia dan New Zealand di selatan Pasifik.

15. Maka, meskipun beliau berkemungkinan membuat perubahan atau membatalkan TPPA, Trump akan tetap perlu untuk meneruskan hubungan dagang dengan Malaysia dan negara-negara Asia lain agar tidak kelihatan ketinggalan dengan inisiatif Beijing, apatah lagi dengan janji beliau untuk menjadikan ‘Amerika hebat kembali’.

16. Dari segi pertahanan pula, hubungan Malaysia dengan AS telah terjalin sejak sekian lama. Malaysia pertama kali menandatangani kerjasama pertahanan bilateral secara rasmi dengan AS iaitu Bilateral Training and Consultative (BITAC) pada 1984.

17. Di bawah BITAC, tentera udara dan laut AS memperoleh peluang lapangan latihan udara dan darat di Malaysia, seperti di Pulada, Johor di samping manfaat kemudahan membaiki kapal di Lumut. Tentera udara dan tentera laut Malaysia pula berpeluang menjalani latihan bersama dengan tentera AS, seperti latihan “Cope Taufan”. Pada 1994, Malaysia menandatangani Acquisition and Cross-Servicing Agreement (ACSA) dengan AS, di mana kapal-kapal laut dan udara AS dibenarkan untuk singgah di pelabuhan-pelabuhan Malaysia bagi tujuan penyelenggaraan dan pembekalan. Malah, pada 2012 sahaja lebih daripada 30 buah kapal tentera laut AS singgah di Langkawi, Pelabuhan Klang, Kuantan, Lumut, serta Kota Kinabalu. Pada 2012 juga USS John C. Stennis menjadi kapal induk pesawat udara pertama yang mengadakan ‘port call’ di Sabah.

18. Kini, ACSA telah terus dilanjutkan tempohnya, manakala penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan Cobra Gold telah dinaiktaraf pada 2011. Pada September 2013, latihan Kris Strike antara tentera Malaysia dan AS turut dijalankan di Sungai Petani. Perlu diketahui bahawa latihan Keris Strike ini ialah latihan tahunan bersama Tentera Darat Malaysia dan United States Pacific Command (USARPAC) AS di mana pada 2014 latihan ini telah diadakan di Kelantan.

19. Pada 2013 sahaja angkatan tentera Malaysia menjalani latihan bersama yang cukup komprehensif dengan AS. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan sahaja menyertai Eksesais CARAT di Pangkalan Tanjung Gelang Kuantan dengan Tentera Laut AS, tetapi juga Eksesais TEAK-MINT 13-1 dengan Angkatan Tentera Udara AS. Pada Oktober 2015 pula, kapal USS Lassen milik AS tiba di Kota Kinabalu seusai menjalankan pelayaran rondaan rutin di Laut China Selatan. Kapal kelas Arleigh Burke tersebut kemudiannya telah memulakan operasi kebebasan pelayaran (Freedom of Navigation Operation FON) di kawasan 12 batu nautika Kepulauan Spratly.

20. Hal ini membuktikan kepentingan lokasi strategik Malaysia buat AS yang pastinya tidak mudah untuk diabaikan sebegitu sahaja oleh Trump dalam mencatur langkah di Asia. Apatah lagi dengan rancangan Trump untuk meningkatkan saiz jumlah kapal tentera laut AS kepada 350 buah nanti, pastinya mereka tetap memerlukan kerjasama Malaysia untuk kemudahan akses rangkaian laluan Laut China Selatan, Selat Melaka, dan Lautan Hindi.

21. Demikian juga dari perspektif bantuan sedia ada AS kepada pertahanan Malaysia. Bantuan terbesar yang diterima Malaysia dalam konteks bantuan keamanan dan keselamatan dari AS ialah Second Line of Defense Megaports iaitu pemasangan sistem pengesanan senjata nuklear dan radioaktif di pelabuhan-pelabuhan strategik. Data OECD mencatatkan pemasangan ini melibatkan bantuan bernilai USD16 juta pada 2010, USD5.4 juta bagi 2011, dan USD663,000 bagi tahun 2013. Sepertimana janji pilihan raya beliau untuk menghapuskan rangkaian pengganas, Trump pastinya tidak ingin untuk mengendurkan kerjasama Washington-Kuala Lumpur yang sedia terjalin ini.

22. Perlu ditegaskan bahawa meskipun hubungan ketenteraan Malaysia-AS adalah cukup erat, namun hal ini sama sekali tidak bermakna Malaysia membelakangi China. Sebagaimana yang dibuktikan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China baru-baru ini yang diiringi lapan orang menteri kabinet, dua menteri besar, seorang ketua menteri, dan seorang menteri Sarawak, hubungan Kuala Lumpur-Beijing bahkan semakin rapat.

23. Bukan sekadar memeterai 14 perjanjian perniagaan bernilai RM144 bilion, rombongan Malaysia khususnya Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut menandatangani MoU dengan Jeneral Chang Wanquan. MoU tersebut bukan sahaja melibatkan pemerolehan serta kerjasama pembinaan aset ketenteraan dengan China, tetapi juga menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) kerjasama pertahanan merangkumi usahasama industri pertahanan, perisiskan dan pertahanan siber, perunding pertahanan strategik, dan hubungan ketenteraan dua hala. Langkah ini melengkapi pemeteraian Kerjasama Strategik Komprehensif sewaktu lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober 2013.

24. Oleh hal yang demikian, pentadbiran Trump perlu meneliti sedalam-dalamnya sebelum mengurangkan kerjasama dengan Malaysia secara drastik dari segi pertahanan kerana sebagai mana dalam sektor perdagangan, China juga akan mengatasi AS seandainya Trump memilih untuk mengendurkan kerjasama sedia ada dengan Malaysia dan juga dengan negara Asia lain seperti Filipina, Jepun, dan Korea Selatan secara drastik.

25. Bagi Malaysia pula, tidak timbul isu untuk memilih sama ada AS mahupun China kerana hal yang lebih penting ialah hubungan diplomatik yang konstruktif antara kesemua pihak.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA