246,118kg Minyak Masak Di Pasaran Sarawak


KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak mengesahkan stok minyak masak di Sarawak mencukupi dengan 246,118 kg berada di pasaran seluruh negeri setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, 75,471 kg di pasaran Kuching, Sibu (370 kg), Miri (16,939 kg), Limbang/Lawas (5,580 kg), Bintulu (3,189 kg), Sri Aman (89,888 kg), Sarikei (10,250 kg), Kapit (37,511 kg) dan Mukah (6,920 kg).

Ketua Penguatkuasanya, Abdul Hafiz Abdul Rahim berkata, pengesahan stok minyak masak mencukupi itu dibuat selepas pemeriksaan terhadap 470 premis di bandar dan luar bandar negeri ini.

"Kita membuat pemeriksaan dari 1 hingga 3 November di seluruh negeri melibatkan 470 premis. Pemeriksaan yang dijalan adalah untuk memastikan minyak masak di Sarawak mencukupi," katanya kepada pemberita selepas memeriksa kilang pembungkusan minyak masak di sini, hari ini.

Di peringkat pengilangan pula jelasnya, stok semasa minyak masak merangkumi 201.32 metrik tan.

"Setakat ini tiada premis yang menyembunyikan minyak masak," ujarnya.

Malah menurutnya, KPDNKK Sarawak turut merangka beberapa langkah termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut di semua peringkat untuk memastikan minyak masak terus berada di pasaran.

"Kita tidak mahu minyak masak hilang di tengah jalan, semua peringkat kita pantau termasuk lokasi jualan.

"Kerjasama dengan agensi kerajaan lain turut dijalankan di sempadan bagi menghalang penyeludupan ke luar minyak masa bersubsidi," jelasnya.-Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA