16 Anggota 'Al Ansar Imam Mahdi' Dibebas


MELAKA: Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di sini, hari ini membebaskan 16 individu kumpulan 'Al Ansar Imam Mahdi', termasuk ketuanya dengan jaminan RM1,500 setiap seorang.

Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Rahimin Bani, berkata semua individu berusia antara 19 hingga 54 tahun itu akan dipanggil semula untuk perbicaraan yang ditetapkan 20 Februari depan.

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan dan mereka juga memberi kerjasama baik kepada JAIM.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana menghina agama Islam dan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

BH semalam melaporkan, JAIM menahan seramai 29 individu dipercayai anggota kumpulan 'Al Ansar Imam Mahdi', termasuk ketua gerakan kumpulan itu di dua lokasi berasingan di Umbai dan Telok Mas, di sini, dalam operasi selama lebih empat jam berakhir jam 3.30 pagi.

Dalam serbuan itu, pelbagai barangan, termasuk buku berunsur Syiah dan Imam Mahdi, kain rentang dan bendera melambangkan Syiah, batu berhala, komputer dan keris turut dirampas.

Pada masa sama, terdapat kira-kira 15 kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 14 tahun turut bersama kumpulan itu kerana mengikuti ibu bapa masing-masing.

Serbuan dilakukan polis dan JAIM itu susulan maklumat awam dan risikan, selain mendapat perintah waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA