13 maut ditembak ketika tonton saingan EPL

JUBA: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 10 lagi dirawat di hospital apabila seorang penyokong bola sepak yang berang melepaskan tembakan ke arah sekumpulan penyokong di sebuah bar di ibu kota Sudan Selatan kelmarin, kata polis hari ini.

Timbalan jurucakap polis Kwacijwok Dominic Amondoc berkata, angka kematian meningkat kepada 13 orang selepas sesetengah mangsa yang cedera dalam insiden tembakan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam kelmarin, maut akibat kecederaan mereka. 

Amondoc berkata, 10 mangsa lain masih dirawat di hospital. 

Mangsa yang cedera, Wani Patrick, kini pulih akibat cedera terkena tembakan di tangannya. "Ketika ditembak, saya jatuh dan beberapa belia juga jatuh menimpa saya. 

Saya tidak boleh berdiri sehingga penyerang menembak semua pelurunya. Ramai ditembak, ramai juga yang mati," katanya. 

Lelaki bersenjata yang mabuk, naik berang selepas dihalang masuk ke dalam bar di mana pelanggan membayar AS$0.50 (RM2.11) setiap seorang untuk menyaksikan perlawanan Chelsea dan Everton di televisyen. 

Insiden berlaku jam 9 malam (1800 GMT) di Gure, kawasan pinggir bandar miskin di barat daya bandar ini. -AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA