12 Laporan Polis Terhadap Fitnah Sarawak Keluar Malaysia

KUCHING : Sebanyak 12 laporan polis telah dibuat setakat jam 9 malam tadi terhadap pemilik akaun Facebook “Sarawak Keluar Malaysia 2021”.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, daripada 12 laporan berkenaan, tujuh antaranya dilaporkan dari Kuching, tiga di Miri dan masing-masing satu di Serian dan Padawan.

“Pihak kami kini menjejaki pemilik akaun laman Facebook “Sarawak Keluar Malaysia 2021”, katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Beliau berkata pihaknya telah berurusan dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia(SKMM) dan kes ini disiasat dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Isnin lalu, Pejabat Ketua Menteri Sarawak telah mengeluarkan satu kenyataan menafikan kenyataan yang tersebar di laman sosial menyatakan bahawa negeri ini tiada pilihan lain kecuali keluar dari Malaysia jika kuasa autonominya tidak dikembalikan oleh Kerajaan Pusat.

Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan sepertimana yang menjadi viral di laman sosial dan ia adalah cubaan pihak yang sengaja menjatuhkan reputasi beliau juga berniat memburukkan imejnya di mata Malaysia .-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA