Ziyad Rasa Bersalah Susahkan Tunang


KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas acara lontar peluru kategori T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Rio, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui rasa bersalah kerana tidak dapat membantu tunangnya, Zafira Mohd Nasir menguruskan persiapan majlis perkahwinan mereka.

"Saya memang rasa bersalah kerana menyusahkan tunang saya kerana terpaksa uruskan majlis perkahwinan kami sendirian. Buat masa ini persiapan boleh dikatakan baru 70 peratus siap.

"Surat-menyurat pun tak siap lagi termasuklah ujian HIV dan borang nikah belum dilengkapkan sepenuhnya. Saya tak ada masa kerana program saya amat padat," katanya.

Ziyad berkata demikian ketika ditemui mStar Online selepas majlis penyerahan ganjaran oleh Naza Corporation Holding atas pencapaiannya meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio Brazil bulan lalu.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata dia turut melakukan beberapa perubahan pada saat akhir terutama pertambahan 300 tetamu yang akan menghadiri majlis perkahwinannya nanti.

"Keluarga sebelah perempuan pun dah tertekan kerana ramai saudara yang nak datang. Mula-mula kami jemput 1000 tetamu masing-masing untuk setiap majlis kerana guna pakej tapi nampaknya kena tambah lagi 300 orang.

"Sejak akhir-akhir ini ramai pula 'saudara mara' saya tak pernah tengok tiba-tiba datang ke rumah. Saya pun pelik tapi itulah realitinya," katanya.

Ketika ditanya mengenai majlis perkahwinan yang diimpikannya, Ziyad berkata dia mahu hari bahagia itu diraikan dalam suasana sederhana tetapi meriah.

"Saya tak nak majlis yang besar-besaran. Saya tak mahu membazir, cukuplah hari bahagia saya disambut dalam keadaan sederhana tapi meriah," katanya.

Ziyad turut merancang untuk menjemput beberapa tetamu kenamaan (VIP) bagi memeriahkan lagi hari bahagianya nanti.

"Sudah tentu saya nak jemput Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penaung Majlis Paralimpik Malaysia Tun Jeanne Abdullah dan tidak lupa juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail," katanya.

Ziyad akan menamatkan zaman bujangnya bersama Zafira pada 11 November depan selepas mengikat tali pertunangan selama setahun.

Majlis resepsi sebelah perempuan akan diadakan pada 12 November di Putrajaya manakala pihak lelaki pula pada 20 November di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai pakaian semasa majlis resepsi sebelah lelaki, Ziyad berkata dia akan memakai persalinan songket berwarna biru.

"Kalau boleh saya nak segalanya berwarna biru sebab ia warna kegemaran saya. Saya pilih songket kerana ia nampak klasik dan jadi trend pada masa sekarang," katanya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA