Zach X-Factor Teruja Dan Terharu Terima Anugerah


KUCHING : Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2016 kali ini menyediakan anugerah khas bagi menghargai sumbangan artis dayak yang telah berjaya dalam industri hiburan tanahair.

Zachery Francis Ubu lebih dikenali sebagai Zach X Factor telah dianugerahkan anugerah khas bagi menghargai penglibatan beliau dalam arena seni sehingga mencipta nama sebaris dengan artis-artis terkenal tanahair.

"Anugerah ini adalah yang paling besar dan bernilai sepanjang saya mencebur diri dalam bidang seni hiburan.

"Sebagai anak Sarawak dari kaum Bidayuh berbesar hati menerima anugerah ini di bumi tempat asal saya serta penganugerahan ini diikhtiraf oleh Persatuan Artis dan Muzik Dayak (DAMA) sendiri," katanya kepada Sarawakiana.

Menurut Zach, beliau tidak menjangka menerima anugerah sebesar ini setelah beliau begitu lama menempuh dugaan untuk menapak dalam bidang ini di Semenanjung Malaysia.

"Pada awal penglibatan saya, pada tahun 1999 saya telah bersama kumpulan X Factor dan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama KRU sebagai penyanyi.

"Setelah tamat kontrak, saya beranikan diri untuk ceburi bidang lakonan memandangkan tiada anak Dayak yang pernah berlakon waktu itu," ujarnya.

Zach berkata, beliau berasa bersyukur kerana setelah mencuba dan berusaha akhirnya pengarah dan penerbit di sana dapat menerima bakat beliau dan mendidik beliau menjadi pelakon sehingga ke hari ini.

Zach yang pernah membintangi drama 'SiCapek' menasihati anak muda negeri ini agar berani mencuba, menghormati orang tua, berikap setia, jaga tingkah laku dan jauhilah dari dadah jika hendak maju dan berjaya dalam bidang seni dan hiburan. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA