#WomensBoatToGaza: Media Israel Dakwa Tiada Keganasan


PALESTIN: Tentera Laut Israel menafikan pihaknya menggunakan kekerasan sewaktu mengambil alih kawalan bot aktivis wanita ke Gaza petang semalam, lapor The Times of Israel.

Wakil Israel Defense Force (IDF) mendakwa, mereka mempunyai alasan kukuh untuk memintas bot berkenaan dan membawanya ke pelabuhan di Ashdod.

“Mengikut undang-undang laut antarabangsa, tentera laut Israel sudah berkali-kali menasihatkan kapal berkenaan untuk menukar arah perjalanan mereka sebelum tindakan diambil.

“Oleh sebab mereka enggan bekerjasama, tentera laut telah memintas mereka untuk mengelakkan mereka melanggar sekatan maritim di Semenanjung Gaza,” dakwa wakil IDF itu dalam satu kenyataan.

Kapal layar berserta tiga krew dan 10 orang anak kapal telah ditawan oleh tentera Israel kira-kira 8.58 malam pada Rabu.

Kapal Zaytouna yang dalam misi #Women'sBoatToGaza (WBG) itu dijangka akan ditunda oleh tentera Israel menuju ke pelabuhan Ashdod.

Sementara itu, menurut IDF lagi, askar wanita ditempatkan di barisan hadapan dan pemintasan tersebut untuk mengurangkan ketegangan dengan aktivis tersebut.

Media Israel turut melaporkan bahawa pihak berkuasa merancang untuk memintas bot tersebut dan kemudian menghantarnya ke pelabuhan di Ashdod sama seperti yang mereka lakukan kepada aktivis tahun lalu.

“Tidak seperti Flotilla terdahulu, bot ini tidak membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza,” kata mereka.

Para aktivis tersebut juga telah memuat naik satu mesej ‘SOS’ mendakwa mereka telah ‘diculik’ oleh IDF serta meminta agar kerajaan negara mereka menuntut pembebasan mereka serta menamatkan sekatan haram ini.

Ekoran penahanan itu, Israel malah mendakwa bahawa sekatan maritim, darat dan laut di Gaza bertujuan menghalang Hamas daripada menerima bekalan senjata dan barangan lain yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah dihubungi untuk sekatan tersebut ditarik balik.

Misi #WomensBoatToGaza yang disertai lebih 10 wanita ternama dari pelbagai negara dan agama bermatlamat memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kepungan di Gaza yang berlarutan selama hampir 10 tahun.

Gerakan yang merupakan satu inisiatif Freedom Flotilla Coalition (FFC) juga bertujuan menganjurkan misi keamanan untuk memberitahu masyarakat dunia bahawa hak-hak rakyat Palestin harus dikembalikan. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA