WHO Beri Amaran Penularan Virus Zika Di Asia Pasifik



HANOI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa wujudnya risiko besar penularan virus Zika di Asia Pasifik memandangkan ratusan kes dicatatkan di Singapura dan Thailand.

Malah dua bayi turut disahkan mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly), iaitu keadaan bayi berkepala kecil.

Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan dalam laporan tahunan serantaunya yang dikeluarkan di Manila, Filipina pada Isnin mengatakan virus bawaan nyamuk itu dikesan di 70 buah negara di seluruh negara termasuk sekurang-kurang 19 negara di Asia Pasifik.

Menurut Pengarah Keselamatan Kesihatan dan Kecemasan WHO, Li Ailan, kemungkinan besar rantau Asia Pasifik termasuk China, Jepun, Australia dan kebanyakan negara Asia Tenggara dan Pulau Pasifik akan terus mencatatkan kes terbaharu.

Li berkata virus Zika sudah lama dikesan di rantau ini sejak 1947.

Namun, katanya agak sukar untuk menentukan jika seseorang individu telah dijangkiti di luar negara.

Selain itu, cuaca tropika di rantau ini, kadar pembiakan nyamuk yang tinggi dan jumlah kedatangan pelancong asing yang semakin meningkat juga antara halangan utama untuk mengawal penularan virus tersebut.

Statistik terkini WHO menunjukkan bahawa lebih 400 kes jangkitan Zika dilaporkan di Singapura manakala Vietnam, Filipina dan Malaysia mencatatkan beberapa kes.

Buat masa ini tiada vaksin atau ubat khas untuk merawat virus tersebut.

Brazil antara negara yang terjejas teruk akibat virus tersebut dengan kira-kira 1.5 juta pesakit direkodkan.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA