Warga Thailand Bimbang Masa Depan Tanpa Raja Bhumibol


BANGKOK - Buat pertama kali dalam tempoh 70 tahun, rakyat Thailand memulakan kehidupan tanpa Raja Bhumibol Adulyadej yang dianggap sebagai bapa yang menerajui negara mengharungi perubahan dan krisis selama beberapa dekad.

Monarki paling lama memerintah di dunia itu meninggal dunia di hospital di Bangkok semalam pada usia 88 tahun.

Beliau mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun tetapi kematiannya mengejutkan negara di Asia Tenggara dengan 67 juta penduduk itu.

Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dijangka ditabal sebagai raja baharu tetapi beliau tidak dipuja seperti bapanya.

Thailand berhadapan serangan bom dan masalah ekonomi baru-baru ini manakala pertelagahan memuncak antara kumpulan rakyat diketuai tentera dan parti politik selepas sedekad dalam krisis termasuk dua rampasan kuasa dan bantahan yang meragut banyak nyawa.

Raja Bhumibol beberapa kali campur tangan untuk mengendurkan ketegangan ketika pemerintahannya dan ramai rakyat negara itu kini bimbang mengenai masa depan Thailand tanpanya.

Pihak tentera, sejak beberapa dekad, menyatakan ia menggunakan kuasa untuk mempertahankan monarki bagi mewajarkan campur tangannya dalam politik.

Pemimpin kerajaan tentera, Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, berkata negara itu dalam keadaan amat sedih.

Kawalan keselamatan dipertingkatkan di istana, kuil dan kementerian di Bangkok dengan tentera ditempatkan di pusat pemeriksaan, pejabat kerajaan dan persimpangan. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA