Wanita Terjun Bangunan Hanya Cedera Ringan

CEDERA:Mangsa ditenangkan oleh orang awam sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.
KUCHING: Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dirasuk dan bertindak terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan kedai di Bandar Baharu Batu Kawa, dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan, semalam.

Menurut saudaranya, mangsa yang berusia 26 tahun tiba-tiba berkelakuan pelik sehingga menakutkan anak-anaknya sebelum tiba-tiba berlari ke arah tingkap dan terus melompat keluar iaitu sekitar jam 1 petang.

Bagaimanapun, mujur mangsa terjatuh ke atas sebuah kereta jenis Mercedes yang diparkirkan di bawah bangunan tersebut dan dia hanya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

“Dia (mangsa) baharu tinggal bersama kami sejak dua hari lepas dan tadi(semalam) semasa saya sedang sidai pakaian, anak saya memberitahu dia takut melihatnya (mangsa) menyebabkan saya terus masuk ke dalam rumah.

“Apabila melihat saya, dia terus berlari ke arah tingkap menyebabkan saya hanya sempat menarik bajunya sebelum dia terjatuh ke bawah dan menghempap sebuah kereta,” katanya kepada pemberita.

Orang ramai yang melihat insiden tersebut kemudian segera membantu mangsa selain turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA