Wanita Teraju Utama Doctor Strange


Filem Doctor Strange terbitan Marvel Studios yang akan ditayangkan pada 27 Oktober ini adalah antara filem yang dinanti-nantikan tayangannya tahun ini.

Sejak teaser filem lakonan Benedict Cumberbatch, Tilda Swinton, Chiwetel Ejiofor, Rachel McAdams dan Benedict Wong itu mula bertebaran di laman sosial April lalu, Doctor Strange mendapat liputan meluas hampir ke seluruh dunia.

Berpeluang bertentang mata dengan tunjang utama filem terbabit iaitu Benedict Cumberbatch dan Tilda Swinton serta pengarah handalan, Scott Derrickson ketika majlis pelancaran filem itu yang berlangsung meriah di Hotel Ritz Carlton, Kowloon, Hong Kong baru-baru ini, nyata banyak perkara yang dikongsikan sepanjang menjayakan filem itu.

Apa yang menarik, masing-masing dilihat begitu teruja tatkala diajak bercerita mengenai watak yang dibawa. Malah, ketika rakan media yang mengikuti rombongan itu dibawa menyaksikan tayangan filem itu secara eksklusif selama 20 minit, boleh dikatakan setiap pelakon berjaya menghidupkan karakter itu dengan berkesan selain penggunaan teknik imej penjanaan computer (CGI) dilihat begitu kemas dan hebat.

Meskipun berdepan pelbagai kontroversi apabila peranan Tilda sebagai The Ancient One dipertikai segelintir pihak, Scott dilihat tenang menjawab pertanyaan mengenai mengapa peranan itu diberikan kepada pelakon wanita sedangkan cerita asal dari buku komik Doktor Strange itu dilakonkan oleh watak lelaki tua dari Tibet.

Menurut Scott, peranan The Ancient One sejak awal lagi ditulis khas untuk Tilda bagi mengubah stereotaip selain percaya pelakon itu mampu membawakan karakter itu dengan baik.

“Skrip The Ancient One memang ditulis khas untuk Tilda. Malah, ketika saya bertemu dengan Presiden Marvel Studios, Kevin Feige saya beritahunya jika dia menolak peranan ini, saya perlu menulis semula skrip ini kerana saya tidak boleh menulis karakter itu dengan betul sehingga saya menggambarkan Tilda melakukannya.

“Lagipun karakter The Ancient One bukan tugas yang mudah untuk dilakukan. Ini kerana, karakter itu sangat rumit dan sukar difahami kerana dia datang dari kayangan. Saya mahu seorang pelakon yang boleh jayakan dan membawa kerumitan karakter itu dengan berkesan sehinggalah saya membayangkan peranan itu perlu dilakukan oleh Tilda,” katanya.

Sementara itu, Tilda yang menerima tempias berkata, penonton perlu melihat filem ini terlebih dahulu sebelum mengkritik watak yang dibawanya.

“Apa yang boleh saya katakan, penonton seharusnya menyaksikan filem ini terlebih dahulu. Saya yakin dengan filem ini kerana ia begitu jelas dan didedikasikan kepada sebuah alam semesta daripada pelbagai aspek. Saya percaya selepas menontonnya nanti pasti anda akan faham mengapa peranan itu diberikan kepada wanita.

“Diharapkan kelainan yang cuba ditampilkan ini dapat diterima ramai kerana saya percaya setiap yang dilakukan mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Saya berharap filem ini dapat diterima ramai,” katanya.

Ditanya kepuasan menjayakan watak itu, Tilda mengaku seronok apabila dia berpeluang bekerjsama dengan kru produksi yang hebat dan pelakon yang berbakat besar.

“Sepanjang menjalani penggambaran filem ini saya sangat teruja kerana dikelilingi dengan kru produksi yang sangat baik dan sporting. Apa yang boleh saya katakan, filem ini dibuat dengan begitu teliti melalui hasil kerja keras daripada pembikin filem yang begitu kreatif dan pintar.

“Jujurnya, saya tidak nampak sebarang kelemahan dalam filem ini. Mereka begitu komited dan ikhlas ketika menyiapkan filem ini bagi memastikan Doctor Strange dapat diterima ramai dan mencetuskan fenomena tersendiri,” katanya.

Beralih ke tunjang utama filem ini, Benedict Cumberbatch yang membawakan peranan sebagai Doctor Strange berkata, dia tidak pernah bercita-cita untuk membawa karakter sebagai superhero.

“Saya tidak pernah membayangkan atau bercita-cita untuk membawakan karakter superhero tetapi gemar menonton filem superhero yang beraksi menyelamatkan dunia. Pada fahaman saya superhero itu seperti dalam filem Batman.

“Bagaimanapun, Marvel telah membawanya ke satu tahap yang lain. Selepas menjalani filem ini, saya betul-betul berasa bangga dan seakan tidak percaya saya sudah melakukannya dan menjadi superhero,” katanya.

Sengaja menebak soalan adakah dia mengalami sebarang kecederaan sepanjang terbabit dalam filem ini, Benedict memberitahu, dia mengalami luka kecil dan terseliuh di beberapa bahagian anggota badan.

“Terus terang bukan mudah untuk menjayakan watak ini. Ini kerana, saya memilih untuk melakukan setiap aksi dalam filem ini bagi merasai sendiri pengalaman ketika terbang dan babak bergaduh sewaktu menjalani proses CGI.

“Saya tidak mengalami sebarang kecederaan yang teruk tetapi mengalami luka kecil di bahagian leher dan lengan selain terseliuh di beberapa anggota badan,” katanya.

Tambah Benedict, terhadap dua hal yang menjadi rintangan terbesarnya dalam membawakan karakter Doctor Strange.

“Saya mempunyai pinggul yang kecil dan telapak kaki mendatar. Jadi ia menyukarkan saya untuk menendang dengan cantik. Selain itu, saya berasa kurang selesa ketika melakukan adegan bergaduh yang menggunakan gerakan di bahagian kaki kerana ia menuntut pergerakan yang cepat,” katanya.

Filem Doctor Strange mengisahkan seorang ahli bedah yang sangat terkenal bernama Dr Stephen Strange. Pada satu hari, dia terbabit dengan kemalangan jalan raya yang cukup serius sehingga kariernya sebagai doktor berakhir.

Dia nekad mencari ubat untuk menyembuhkan luka ketika kecelakaan nahas itu. Dia akhirnya berhasil membuat kehidupannya kembali normal dan mendapat hikmah dari kecelakaan yang menimpa dengan mendapatkan sebuah kekuatan yang disebut sebagai The Sorcerer Supreme atau disebuat sebagai kekuatan sihir yang sangat hebat.

Dia menggunakan segala kekuatan yang dimiliki untuk melakukan kebaikan dengan menumpas segala kejahatan yang berada di sekelilingnya serta melindungi bumi daripada ancaman makhluk jahat.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA