Usahawan disaran lebih kreatif mempromosikan pemasaran produk


KUCHING: Para usahawan terutama yang bergiat dalam industri kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negeri ini amnya dan di kawasan Parlimen Santubong, khasnya disaran lebih kreatif dalam usaha mempromosikan pemasaran produk masing-masing.

Menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, bagi mencapai tahap kreativiti, adalah amat wajar bagi usahawan untuk mengikuti program latihan kemahiran yang memberi pengetahuan berkaitan pemasaran produk.

Selain itu jelasnya, dengan adanya penglibatan aktif menerusi program kemahiran, ia juga diyakini dapat menyerlahkan lagi kemahiran diri untuk menjadi usahawan berjaya.

“Saranan kepada mereka yang berhasrat menceburi keusahawanan mahupun yang sudah menjadi usahawan, buanglah rasa segan dan malu untuk mencapai kejayaan.

“Libatkan diri secara aktif dalam sebarang penganjuran program atau kursus kemahiran keusahawanan yang diadakan di tempat-tempat anda bermula dari skala kecil-kecilan.

“Saya juga percaya, ada antara usahawan yang giat melibatkan diri dalam kursus sedemikian telah berjaya sehingga ada juga yang telah mencipta produk tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Unit Pendidikan Kemahiran (PKEM) Parlimen Santubong 2016 anjuran KEMAS Negeri Sarawak di Auditorium Sekolah Menengah Seni Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu, penglibatan menerusi kursus atau program kemahiran juga dapat membuka minda usahawan untuk lebih berdaya saing terutama bagi mempelajari kaedah untuk memasarkan produk mereka sejajar dengan kecanggihan teknologi hari ini.

“Tidak dinafikan pada zaman sekarang, cara mempromosikan produk kita dengan lebih berkesan dan mudah adalah melalui Internet.

“Justeru, program kemahiran yang dianjurkan ini diharap dapat menjadi pencetus minda kita agar menjadi usahawan berjaya, bukan hanya di peringkat dalam negeri, bahkan juga di peringkat antarabangsa,” jelasnya sambil mengingatkan peserta untuk terus merebut peluang yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Antara objektif penganjuran Majlis Penyampaian Sijil Unit PKEM itu ialah untuk memberi penghargaan menerusi sijil penyertaan kepada peserta Kelas Kemahiran KEMAS dalam bidang masakan, dandanan diri, jahitan, pendidikan kesejahteraan keluarga, seni tangan dan literasi komputer.

Selain itu, ia juga sebagai memberi pengiktirafan kepada peserta yang telah berjaya mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dianjur oleh jabatan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Difahamkan seramai 250 peserta dalam kawasan Parlimen Santubong (DUN Tanjong Datu, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut) menerima sijil unit tersebut.

Hadir sama ialah Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Abang Rabaee Abang Muhi.- UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA