UPM Anjur CEO@Faculty Programme


BINTULU: Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan CEO@Faculty Programme di Dewan Sri Kenyalang, Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM KAMPUS Bintulu, di sini hari ini.

Program hari ini mengetengahkan Pro Canselor UPM yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang berpengalaman dalam bidang pertanian untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada pelajar UPM kampus Bintulu.

Program tersebut dijalankan berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) bagi meningkatkan atribut pelajar dalam melahirkan graduan yang mempunyai ciri keusahawanan, holistik dan seimbang menerusi pembabitan industri.

Melalui program CEO@Faculty Programme itu, UPM juga menerima pelantikan CEO untuk tahun 2016/2017 iaitu, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Plantation Berhad, Fahmy Ismail.

Sebelum ini, Tony Fernandes sudah berkongi pengalamannya menerusi program yang sama di UPM, Serdang pada 19 April lalu. Tugas CEO yang dilantik untuk program itu adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka berkaitan dunia korporat bersama kakitangan UPM.

Selain itu, mereka akan bersama pelajar UPM bagi membentuk serta membimbing mereka untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah secara holistik.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, Ahli Lembaga Pengarah Universiti UPM, Datuk Mohidden Ishak, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Muda Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Talib Zulpilip dan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA