UNIMAS Pemangkin Sains dan Teknologi



KUCHING: Pelbagai inisiatif perlu dirangka terutama institusi pengajian tinggi bagi menarik minat dan meningkatkan kesedaran pelajar dalam sains dan teknologi, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, inisiatif diambil Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan Ekspo Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (STEEx) dilihat sebagai langkah bijak untuk memperkasa bidang tersebut.

"Saya berbangga kerana UNIMAS mempunyai inisiatif menganjurkan STEEx untuk menarik minat dan meningkatkan kesedaran pelajar dalam sains dan teknologi," katanya pada Majlis Perasmian UNIMAS STEM EnCon 2016 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, Pelan Induk Pendidikan Malaysia untuk tahun 2013 hingga 2025 turut memberi penekanan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Usaha kerajaan ini adalah untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran bagi memenuhi cabaran sains dan teknologi selain memastikan Malaysia mempunyai graduan STEM mencukupi untuk memenuhi pasaran kerja," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap UNIMAS dapat bekerjasama dengan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) untuk memenuhi objektif pelan induk STEM dengan menyediakan pendidikan berkualiti untuk menyokong keperluan masyarakat dan industri.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dato' Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, Fakulti Kejuruteraan UNIMAS sentiasa bertindak secara progresif bagi mengekalkan kualiti dan standard ditetapkan Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

"Oleh itu, kita menetapkan visi dan misi untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kita dengan konsisten menetapkan had, standard dan sasaran baharu termasuk mendapatkan geran dan dana untuk penyelidikan dengan menjalinkan kerjasama dengan pemain industri bagi meningkatkan maklmal penyelidikan," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA