Undang-undang Berkaitan Hidupan Laut Perlu Ditambah Baik - Wan Junaidi



SHAH ALAM - Undang-undang berkaitan hidupan laut perlu ditambah baik selepas tiada sebarang perubahan dalam tempoh yang lama bagi menyedarkan masyarakat berhubung nilai terumbu karang, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Seperti diketahui, undang-undang berkaitan hidupan laut memang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) namun ia tidak mengalami sebarang perubahan sejak 10 tahun lepas, jadi saya rasa eloklah ia dilihat semula supaya merangkumi segenap aspek dalam menjaga terumbu karang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen Kelestarian Alam Sekitar Management and Science University (MESC) 2016, di sini hari ini.

Katanya, kepentingan memelihara terumbu karang perlu terus ditekankan kepada semua pihak bagi memastikan khazanah yang mengimbangi ekosistem laut itu dapat dikekalkan.

Wan Junaidi berkata, kurang kesedaran mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap terumbu karang boleh merencatkan pertambahan ikan-ikan kerana ia elemen utama yang bertindak sebagai sumber oksigen di dasar laut.

"Setakat ini, kita hanya ada lima peratus kawasan di laut yang dilitupi terumbu karang dan pemeliharaan dan pemuliharaan perlu ditingkatkan untuk mencapai 10 peratus supaya boleh diisytihar menjadi taman laut.

"Sabah dan Sarawak sedang menambah pengisytiharan kawasan lindungan laut mereka yang agak besar dan ia boleh meningkatkan lagi prestasi kita untuk memperluas program konservasi bagi menjaga khazanah ini," kata Wan Junaidi.

Tambah Wan Junaidi, walaupun kawasan terumbu karang di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri, namun kerjasama erat dengan kerajaan pusat boleh mendatangkan kebaikan kepada usaha memelihara dan memulihara hidupan laut itu.

Beliau berkata usaha yang dilakukan Management and Science University (MSU) untuk membiak dan memulihara terumbu karang di Pulau Redang, Terengganu menerusi kempen MESC 2016 harus dipuji kerana membantu negara menjaga ekosistem berkenaan. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA