Uggah menyifatkan Bajet 2017 sangat inklusif


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam sebagai satu bajet yang sangat inklusif.

Malah katanya, bajet kali ini turut dilihat sebagai mengambil kira semua kepentingan rakyat Malaysia terutama kumpulan berpendapatan rendah.

“Perdana Menteri mengkategorikan polulasi kita kepada T20, M40 dan B40 dan bajet ini mengambil kira semua kumpulan ini terutama B40 di mana program direka untuk meningkatkan pendapatan mereka serta mengurangkan bebanan hidup mereka,” katanya semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar menambah, Perdana Menteri juga memberikan keutamaan kepada kawasan luar bandar dengan lebih peruntukan bagi membina jalan, bekalan elektrik dan air.

“Jika dalam bajet sebelum ini menekankan ekonomi rakyat dan ekonomi modal tetapi kali ini Perdana Menteri mengambil selangkah lagi dengan memberi tumpuan kepada kegembiraan rakyat untuk menangani semua isu yang melibatkan rakyat seperti jenayah, kos sara hidup, pengangkutan awam,” tegas Uggah.

Selain itu, Uggah berpendapatan bahawa bajet kali ini menyentuh tentang rancangan jangka panjang Perdana Menteri sehingga tahun 2050 yang menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh.

“Selaku Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memperkenalkan bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil getah sebanyak RM200 sebulan bagi November, Disember dan Januari.

“Bagi pihak pekebun kecil getah di Sarawak, saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana turut mengekalkan segala bentuk bantuan lain yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini kepada golongan nelayan dan petani,” kata Uggah.

Antara lain, bajet ini menurut Uggah turut memperincikan serta menjawab segala keresahan rakyat yang ditimbulkan di media tentang isu-isu yang perlu ditangani oleh kerajaan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA