Tutup Taska Dan Tadika, Kalau Masih Degil Daftar


KUCHING: Diarah tutup adalah tindakan terakhir kerajaan sekiranya pengusaha gagal mendaftarkan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan tadika masing-masing kerana perkara tersebut melibatkan keselamatan kanak-kanak.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali bagaimanapun berkata, kerajaan buat masa ini masih memberi kelonggaran kepada mana-mana taska atau tadika untuk berdaftar.

Malah menurutnya, sebelum arahan penutupan dibuat, penguatkuasaan dan memberi amaran akan dibuat dahulu untuk memastikan semua pengusaha mengikuti peraturan ditetapkan untuk membuka taska dan tadika.

"Kita tidak kejam untuk terus menutup taska atau tadika sebaliknya masa diberikan kepada mereka untuk mendaftar taska dan tadika masing-masing.

"Kempen jom daftar juga diperkenalkan untuk menggalakkan pendaftaran taska dan tadika," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan alat bantu mengajar kepada lima buah pra sekolah di Taska Semerah Padi Fasa 1, hari ini.

Lima pra sekolah terbabit merangkumi Taska Permata Kemas, Taska Kampung Semariang Batu, Tabika Kemas Kampung Sungai Bedil, Tabika Kemas Semariang Jaya 2 dan Tabika Kemas Taman Sukama.

Menurut Hasidah lagi, penguatkuasaan sudah dijalankan sejak September lepas untuk mengesan taska atau tadika tidak berdaftar.

"Pendaftaran penting kerana melibatkan pematuhan standard ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Tanah dan Survei dan pelesenan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan statistik taska atau tadika tidak berdaftar di Sarawak.-Sarawakiana




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA