Tutup Jeti Haram Antara Langkah Optimum Penggunaan Pelabuhan LKIM Tanjung Bako


KUCHING: Kerajaan negeri akan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk menutup jeti haram untuk membolehkan pendaratan ikan hanya dijalankan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, bot nelayan juga tidak dibenarkan untuk melalui baraj di Pending selain jeti LKIM Bintawa ditutup dan semua bot nelayan akan mendaratkan ikan di pelabuhan tersebut.

"Usaha ini penting untuk memastikan pengkalan ini diguna sepenuhnya dan hasrat menjadikannya sebagai pasar nelayan tercapai," katanya pada sidang media selepas melawat Pelabuhan LKIM Tanjung Bako hari ini.

Selain itu menurutnya, memang tidak dinafikan pada masa ini berlaku urusan memindahkan ikan ke dalam bot lebih besar dan tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai mencuri aset negeri ini.

"Kita perlu mengambil pendekatan terbaik untuk memastikan kapal nelayan besar mendaratkan ikan di pelabuhan ini sebelum mengeksport ke luar negara," ujarnya.

Pelabuhan tersebut yang dibina dengan kos RM247 juta dibina pada tahun 2014 dan siap 22 Julai lepas.

Dibina di atas tanah seluas 42.5 ekar, fasa pertama projek merangkumi pembinaan dewan, blok pentadbiran, kantin, pasar nelayan, surau, jeti komersial, jeti bot kecil dan pelbagai kemudahan moden lain.-Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA