Trump ugut penjarakan Hillary jika jadi presiden AS

ST LOUIS: Donald Trump mengugut akan menyumbat lawannya, Hillary Clinton ke penjara, jika beliau dipilih sebagai presiden Amerika Syarikat, kerana mendakwa bekas setiausaha negara AS itu mengancam keselamatan negara ketika mengendalikan pelayan e-mel peribadinya.

Calon Republican itu berkata, beliau akan melantik seorang pendakwa raya khas untuk menyiasat penggunaan e-mel Hillary ketika menjadi ketua diplomat Presiden Barack Obama, dari 2009 hingga 2013.

Debat selama 90 minit yang dianjurkan Universiti Washington itu bermula dingin, apabila kedua-dua calon terbabit sekadar menyapa satu sama lain tanpa berjabat tangan.

Ia segera bertukar menjadi perbincangan hangat berhubung rakaman video pada 2005, di mana Trump mengeluarkan kenyataan lucah dan bercakap mengenai perbuatannya meraba wanita serta menggoda isteri orang.

Trump berkata, beliau malu dengan kenyataan itu, tetapi tidak menafikan ia sekadar “perbualan dalam bilik persalinan”.

Beliau kemudiannya menuduh tindakan bekas Presiden, Bill Clinton lebih teruk daripadanya.

“Saya hanya keluarkan kata-kata, tetapi beliau bertindak,” katanya yang turut mendakwa Hillary menyerang wanita-wanita disyaki terbabit dengan salah laku seks bersama suaminya yang merupakan presiden AS sejak 1993 hingga 2001.

Beberapa jam sebelum debat ke-2 ini, Trump menemui 3 wanita yang mendakwa Bill terbabit dalam salah laku seks dan seorang lagi wanita yang menjadi mangsa dalam 1 kes rogol di mana Hillary merupakan peguam defendan. Mereka berempat duduk di barisan pertama tempat duduk penonton ketika debat itu berlangsung.

Paula Jones memfailkan saman gangguan seksual terhadap Bill, pada 1991, Juanita Broaddrick mendakwa lelaki itu merogolnya, pada 1978, manakala bekas pembantu Rumah Putih, Kathleen Willey menuduh Bill merabanya, pada 1993.

Semuanya dakwaan lama dan Bill tidak didakwa dalam mana-mana kes itu, tetapi beliau membayar AS$850,000 kepada Paula, tanpa memohon maaf atau mengaku bersalah.

Hillary mewakili perogol yang mengaku bersalah dalam kes Kathy Shelton dirogol pada berusia 12 tahun.

Hillary berkata, dakwaan Trump menunjukkan beliau tidak sesuai menduduki Rumah Putih.

“Beliau kata video itu tidak mewakili dirinya, tetapi saya fikir ia jelas menunjukkan dirinya yang sebenar,” kata wanita itu.

Trump terus menyerang Hillary mengenai pelayan e-mel peribadinya dan berkata: “Anda patut malu dengan diri sendiri.”

Hillary berkata, nasib baik Trump tidak dipertanggungjawab dengan undang-undang AS.

Jutawan itu membalas “kerana anda akan dipenjarakan”.

Siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) hampir setahun ke atas dakwaan itu menyaksikan ia tiada pertuduhan difailkan ke atas Hillary, walaupun Pengarah FBI, James Comey berkata, wanita terbabit cuai dalam pengurusan bahan sensitif.

Hillary bertegas “tiada bukti” menunjukkan pelayannya digodam dan sebarang maklumat sulit jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, kerana ia dijaga dengan baik.

Beliau mendakwa Trump cuba elak menyentuh isu berkaitan dasar bagi mengelakkan perbincangan mengenai kempen 16 bulan lelaki itu yang berdepan krisis, susulan kontroversi berhubung kenyataan lucahnya 11 tahun lalu sehingga menyebabkan Trump hilang sokongan daripada ramai pemimpin Republican.

Trump turut mendakwa moderator, Anderson Cooper daripada CNN dan Martha Raddatz daripada ABC News menyebelahi Hillary.

Debat itu antara lain menyentuh isu cukai, penjagaan kesihatan dan dasar AS dalam perang saudara Syria.

Trump turut mengulangi kritikannya terhadap cara Hillary mengendalikan dasar luar AS ketika beliau menjadi setiausaha negara sebagai “kesilapan dan bencana”.

Trump berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan calon naib presidennya, Mike Pence pada minggu lalu, AS perlu bersiap sedia mengerahkan tenteranya jika diperlukan di Syria.

Di penghujung debat itu, ketika ditanya 1 perkara dilakukan pihak lawan yang dikagumi mereka, Hillary berkata, beliau menghormati anak-anak Trump atas kebolehan dan kasih sayang mereka kepada lelaki itu.

Trump pula memuji Hillary adalah pejuang yang tidak pernah berputus asa. Merea berdua kemudiannya berjabat tangan.

Debat terakhir antara Hillary dan Trump akan berlangsung pada 19 Oktober ini. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA