Trump Ubah Pendirian Mengenai Cadangan Haramkan Umat Islam


WASHINGTON: Calon presiden Amerika Syarikat Donald Trump kini mengubah pendirian mengenai cadangannya mahu melarang umat Islam daripada berkunjung ke negara itu, kata rakan gandingannya untuk jawatan naib presiden Mike Pence semalam.

Ia dilihat sebagai peralihan daripada cadangan paling provokatif oleh calon Republikan itu.

Pada Disember lalu, Trump mencadangkan umat Islam dilarang sepenuhnya memasuki AS, susulan serangan diilhamkan IS oleh pasangan suami-isteri beragama Islam di San Bernardino, California.

Cadangan itu dikutuk kerana bersifat diskriminasi dan melanggar perlembagaan AS yang menjamin kebebasan agama.

Seteru Trump dari parti Demokrat berkata cadangan itu bukti Trump seorang rasis.

Sejak kebelakang ini, Trump berkata akan menggantung penghijrahan asing dari negara di mana wujud kegiatan militan Islam, tetapi tidak jelas sama ada ia rentetan daripada dasar asalnya melarang terus kemasukan umat Islam.

Pence dalam beberapa wawancara televisyen berkata sekiranya menang pilihan raya presiden AS pada November 8 nanti, Trump akan menggantung penghijrahan dari negara yang “terjejas oleh keganasan”.

Ditanya sama ada ia bermaksud melarang umat Islam, Pence memberitahu rancangan “Morning Joe” MSNBC: “Sudah tentu tidak”.

Pence turut disoal CNN mengapa beliau menyokong dasar sedemikian walaupun pernah membantahnya sebelum bersetuju berganding dengan Trump.

“Kerana itu bukan lagi polisi Donald Trump,” katanya. - Reuters.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA