Trump Tidak Akan Berundur



Washington: Kenyataan lucah mengenai wanita yang dibuat Donald Trump mencetuskan krisis terhadap kempennya dan juga pada Parti Republikan, kurang 30 hari sebelum pilihan raya presiden dan sebelum debat keduanya dengan pesaing, Hillary Clinton.

Bagaimanapun, Trump menolak gesaan yang semakin meningkat supaya dia berundur selepas kenyataan yang memalukan yang dibuatnya pada 2005 terbongkar.

“Kita akan mengingati hari ini untuk tempoh yang lama. Perang saudara meletus dalam Parti Republikan,” kata David Gergen yang pernah menjadi penasihat kepada empat presiden Amerika Syarikat, kepada CNN, semalam.

Awal petang kelmarin (waktu tempatan), Trump muncul di Trump Tower di New York dan disambut oleh puluhan penyokongnya.

Ditanya sama ada dia akan kekal bersaing dalam pilihan presiden pada 8 November depan, Trump menjawab: “100 peratus.”

Rakaman video yang didedahkan Jumaat lalu oleh The Washington Post memaksa calon Republikan itu membuat permohonan maaf.

Kempennya sebelum ini sudahpun terjejas dengan kontroversi berhubung layanannya terhadap wanita.

Trump menyifatkan pendedahan itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian dan pada masa sama menyerang keluarga Clinton dengan menyasarkan kecurangan lalu Bill Clinton.

Trump menafikan kempennya berdepan krisis dan meramalkan kontroversi itu akan berakhir.

“Media dan pihak tertentu mahu sangat saya berundur. - SAYA TIDAK AKAN BERUNDUR, SAYA TIDAK AKAN HAMPAKAN PENYOKONG SAYA!” tulisnya dalam Twitter.- Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA