Trump Dikatakan Tidak Membayar Cukai Selama 18 Tahun


WASHINGTON – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan, Donald Trump dipercayai tidak membayar cukai pendapatan selama 18 tahun, menurut dokumen percukaian bocor yang diperoleh akhbar New York Times.

Cukai pendapatan Trump menjadi isu utama dalam kempen politiknya selepas beliau enggan mendedahkannya kepada umum tidak seperti calon-calon Presiden AS lain.

Trump mendakwa, beliau tidak boleh mendedahkan cukai pendapatannya kerana sedang disiasat pihak berkuasa percukaian AS walaupun pada hakikatnya, tidak ada sebarang undang-undang yang menghalang makluman itu.

Bekas Presiden AS, Richard Nixon pernah mendedahkan rekod cukainya ketika sedang diaudit pada 1973.

The New York Times mendedahkan pada Sabtu lalu bahawa pihaknya memperoleh borang cukai Trump untuk tahun 1995 dengan beliau mengumumkan kerugian sebanyak AS$916 juta (RM3.7 bilion) akibat kegagalan perniagaan.

Pakar-pakar percukaian yang diupah akhbar itu menyimpulkan bahawa perisytiharan Trump itu membolehkannya tidak perlu membayar cukai sehingga pendapatannya berjumlah AS$916 juta juga berdasarkan undang-undang AS.

Mereka menganggarkan Trump tidak perlu membayar cukai pendapatan untuk tempoh selama akan 18 tahun.

Pengkritik-pengkritik Trump bagaimanapun menuduh beliau menyembunyikan sesuatu dalam perisytiharan cukai itu yang boleh menjejaskan cita-citanya untuk menduduki White House.

Semasa debat Presiden pertama pada minggu lalu, calon Parti Demokrat, Hillary Clinton membuat spekulasi bahawa Trump tidak mendedahkan cukai pendapatannya kerana ‘beliau sebenarnya tidak kaya dan dermawan seperti yang didakwa olehnya.’

Clinton juga berkata, ia mungkin mendedahkan bahawa Trump tidak membayar apa-apa cukai persekutuanpun.

Trump kemudiannya mencelah dengan berkata: “Itu bermakna saya bijak.” – dpa

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA