Trump Berdepan Ancaman Disihir



NEW YORK – Selepas dikecam hebat kerana kenyataan lucah yang dibuatnya mengenai wanita lebih 10 tahun lalu, calon Parti Republikan dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 8 November ini, Donald Trump, kini berdepan ancaman disihir.

Perancang strategi Trump berharap bilionair hartanah mulut celupar itu akan membuat persembahan lebih baik apabila berdebat dalam pusingan kedua dengan lawannya, Hillary Clinton, malam ini (waktu tempatan).

Bagaimanapun, harapan itu mungkin terjejas oleh kuasa yang di luar kawalan mereka.

Satu kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan agama dan menggelar diri mereka Persatuan Penaja Ahli Sihir Sedunia berikrar menyihir Trump ketika dia berdebat dan mereka dakwa ia akan memaksa bilionair itu menarik diri daripada bertanding.

Kumpulan itu menggesa penyokongnya dan ahli sihir di seluruh dunia menyertai tindakan menyihir Trump.

“Apabila Trump bercakap, kita perlu serentak mengucapkan perkataan ‘Saya menarik diri’ dengan harapan ia akan memasuki ‘lapangan mental’ Trump.

“Mulai saat kita bersama-sama mengucapkan perkataan itu, idea untuk berundur akan menguasai minda Trump,” kata kumpulan itu.

Ia yakin usaha itu akan berjaya.

Jurucakap kumpulan itu, Peter Gower berkata: “Kita tidak akan menyebabkan kecederaan fizikal. Sambil menonton perdebatan itu di televisyen, puluhan ribu dalam kalangan kita akan ‘menanamkan’ idea untuk dia tarik diri dalam mindanya.

“Saya yakin itu yang perlu dilakukan terhadap minda lelaki yang amat berbahaya ini. Dan kami mahu pastikan ia berjaya.”

Menurut Gower, dia percaya Trump akan mengumumkan pengundurannya dalam tempoh 24 jam atau mungkin ketika berdebat. – Daily Telegraph/myMetro Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA