'Trending' Penubuhan Parti Baru Pembangkang Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14


KUALA LUMPUR: Tahun 2016 memperlihatkan lambakan penubuhan parti baru pembangkang di seluruh Malaysia, tidak terkecuali perbalahan berakhir kepada perpecahan blok pembangkang Sabah.

Terbaru bekas Pengerusi PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukim menubuhkan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang telahpun diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Penubuhan parti berkenaan renteta daripada kekecewaannya di anak tirikan oleh PKR yang meminggirkan agenda Sabah dalam perjuangan parti di peringkat pusat.

Lajim pada ucapannya terakhirnya sebagai Ketua PKR Sabah sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan PKR di Kota Belud, bulan lepas menyelar kepimpinan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kata Lajim PKR Sabah tidak mempunyai pilihan lain selain menyokong institusi Presiden dan Timbalan Presiden yang bermasalah.

Lantaran terus dikecewakan PKR, Lajim kemudiannya bertindak keluar awal bulan ini dalam satu majlis di Kota Kinabalu sekaligus melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Selain Parti Harapan Rakyat teraju Lajim, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal menubuhkan Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS).

Sehingga parti berkenaan diluluskan RoS, Shafie berjaya 'merampas' ADUN DAP dan PKR - ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong; ADUN Likas, Junz Wong; serta Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia, Datuk Peter Anthony - bagi menggalas jawatan Naib Presiden PPWS.

Shafie dalam komennya terhadap parti Lajim menegaskan penubuhan Harapan Rakyat bukanlah fenomena baru dalam landskap politik Malaysia dan tidak menggugat partinya.

"Penubuhan parti sudah banyak, sejak dahulu. Di Selangor pun ada, Pulau Pinang pun ada banyak parti. Yang menang akan ditentukan rakyat sebagaimana PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang. Bagi kita, apa yang penting adalah kepentingan rakyat.

"Saya katakan bahawa, saya tidak bimbang tentang jumlah parti atau jumlah kerusi, yang saya mahu adalah supaya rakyat bersatu. Pilih mana parti dan pimpinan yang dirasakan mampu membuat perubahan di Sabah," katanya.

Blok pembangkang Borneo kini dimeriahkan lagi dengan penubuha Gabungan Rakyat Saksama (Saksama) menggabungkan tujuh parti pembangkang seluruh Malaysia.

Pakatan tersebut diketuai oleh Presiden Parti Reformasi Sarawak (STAR) Lina Soo menggabungkan enam lagi parti lain - Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Parti Kebangsaan Sabah (PKS), Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Alternatif Rakyat.

Di Semenanjung, hype pembangkang dimeriahkan dengan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) teraju bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi.

Turut serta sebagai pengasas PPBM, dua ahli UMNO yang dipecat - Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Naib Presiden).

Sehingga hari ini, parti klon UMNO itu masih belum mengisytiharkan secara rasmi hubungan bersama blok pembangkang sungguhpun bergiat aktif dipentas Pakatan Harapan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan.

Persamaan kesemua blok pembangkang ini adalah kesemuanya menentang satu sama lain dalam usaha untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

- Malaysian Digest

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA