Tony Fernandes Berminat Bantu Bola Sepak Malaysia


SEPANG: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes membayangkan beliau berminat untuk membantu perkembangan bola sepak Malaysia.

"Tanpa diragui, saya akan terlibat dalam bola sepak dalam bentuk tertentu. Saya melihat bola sepak Malaysia sejak berumur lima tahun di kejohanan Piala Merdeka.

"Dan jika saya boleh tolong, sudah tentu saya akan tolong. Ia terpulang kepada persatuan itu (FAM) bagaimana mereka mahu saya bantu," katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan Air Asia kepada pemenang pingat temasya Paralimpik Rio bulan lepas.

Tony berkata beliau sangat meminati bola sepak dan akan menggunakan segala pengalamannya sewaktu menaja pasukan Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers untuk kemajuan bola sepak negara.

"Saya cintakan bola sepak, masanya masih panjang dan mari lihat jika orang mahukan saya dan mari lihat jika saya boleh menyumbang. Ia tidak perlu jadi Presiden FAM.

"Terdapat banyak lagi peranan lain, tetapi sekiranya saya diminta membantu bola sepak Malaysia, saya akan bantu," tambah Tony.

Pada majlis itu, Air Asia menghadiahkan penerbangan percuma kepada pemenang pingat Paralimpik dari negara ASEAN.

"Sekali lagi atlet ASEAN telah membanggakan rantau ini dengan menunjukkan bahawa kita boleh menjadi pencabar yang hebat di peringkat dunia," kata Tony.

Tiga pemenang pingat emas negara yang menerimanya ialah Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) yang menerima penerbangan percuma seumur hidup.

Pemenang pingat gangsa tunggal negara, Siti Noor Radiah dalam acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) pula menerima penerbangan percuma selama tiga tahun.

Keseluruhannya 12 pemenang emas, tujuh pemenang perak dan 12 pemenang gangsa dari ASEAN menerima hadiah penerbangan percuma tersebut.

Ia turut melibatkan atlet paralimpik Thailand, Singapura dan Vietnam.

Penerima juga diberikan kad AirAsia BIG edisi khas yang berwarna emas, perak dan gangsa yang membolehkan mereka terbang ke lebih 120 destinasi yang diliputi rangkaian penerbangan AirAsia dan AirAsia X termasuk Asia, Australia, Timur Tengah dan Afrika.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA