TMJ Diberi Penghormatan Ucap Di World Football Summit


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakar sejarah bola sepak negara apabila sah berucap pada Persidangan Bola Sepak Dunia 2016 di Madrid, Sepanyol akhir bulan ini.

Baginda malah menjadi wakil tunggal dari rantau Asia Tenggara sekali gus merupakan penghormatan dan pengiktirafan tertinggi buat TMJ selepas reputasinya merevolusikan bola sepak di Johor Darul Ta’zim.

Berita gembira tersebut disiarkan menerusi kenyataan daripada akaun laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers, semalam.

Persidangan bertaraf antarabangsa ‘World Football Summit 2016’ yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini adalah sidang kemuncak sukan bola sepak berskala besar pertama.

Ia membincangkan perkara-perkara mengenai industri bola sepak dengan menampilkan pembabitan ramai individu berkepentingan dalam industri sukan tersebut secara lebih mendalam.

Ini sekali gus meletakkan Tunku Ismail sebaris dengan beberapa ‘otai besar’ di peringkat antarabangsa yang turut memberikan ucapan masing-masing pada persidangan tersebut.

Antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil; Pengarah Besar Korporat La Liga, Javier Gomez dan Timbalan Ketua Eksekutif Pemain Bola Sepak Profesional, Bobby Barnes.

Selain individu berpengaruh dalam sukan bola sepak, beberapa nama tersohor turut mengesahkan untuk memberi ucapan pada persidangan bola sepak terbesar itu.

Mereka ialah Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Qatar, Dr. Thani Abdul Rahman Al Kuwari; Pengarah Media Twitter, David Nunez serta Pengarah Urusan Sportradar, Stefan Leibhard.

Peserta bakal memberi pendapat dan berkongsi pengalaman sesama mereka bagi kemajuan bola sepak antarabangsa, pembangunan akar umbi, pemasaran dan hal berkaitan industri bola sepak. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA