Timbalan Pengarah JKR Sabah Ganti Pengarah Jabatan Air


KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah (Operasi dan Senggara) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ir Willis Ansoi, bakal mengisi jawatan Pengarah Jabatan Air Sabah yang baharu.

Ia susulan penyandang sebelum ini digantung tugas berikutan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna kuasa.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman, sudah mengeluarkan surat pelantikan Willis ke jawatan itu dan meminta beliau melaporkan diri di jabatan terbabit secepat mungkin.

Willis sebelum ini pernah memegang jawatan Jurutera JKR Daerah Tambunan dan Ketua Penolong Pengarah Pemeliharaan Jalan Raya JKR Sabah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi dan Senggara) JKR Sabah sejak tahun lalu.

Sumber memberitahu BH, Willis menerima surat pelantikan sebagai Pengarah Jabatan Air Sabah pagi tadi dan dijangka memulakan tugas dalam tempoh terdekat.

Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Sukarti menjelaskan pengarah sebelum ini digantung tugas berkuatkuasa 4 Oktober lalu selepas ditahan SPRM berhubung kes salah guna kuasa agihan projek bernilai RM3.3 bilion.

Selain pengarah berusia 54 tahun itu, turut digantung tugas ialah timbalannya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA