Tiga Parah Dalam Kemalangan Kereta, Motosikal


SERIAN: Tiga lelaki termasuk seorang anggota tentera dan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 53, Jalan Kuching-Serian di Tarat di sini, awal pagi semalam.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga Chabu, insiden sekitar jam 2.30 itu berlaku apabila Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 58 tahun dari arah Serian sedang membelok masuk ke simpang Jalan Ensenggei apabila dilanggar motosikal pada bahagian sisi kiri.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta Kancil yang datang dari arah Serian sedang membelok masuk ke simpang Jalan Ensenggei, dilanggar antara pintu penumpang bahagian depan dan pintu penumpang bahagian belakang oleh motosikal yang datang dari arah Kuching menuju ke Serian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serian dengan kekuatan tujuh anggota diketuai PBK II Kamri Bujang turut dikerahkan ke lokasi untuk mengeluarkan pemandu kereta berasal dari Kampung Bunga yang tersepit.

Penunggang dan pembonceng motosikal, masing-masing dikhuatiri patah tulang paha kanan dan tulang pinggul manakala pemandu kereta cedera di kepala.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Serian menggunakan ambulans APM untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal yang masing-masing anggota tentera dan APM kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Penunggang dan pembonceng motosikal telah dirujuk ke HUS untuk mendapat rawatan lanjut manakala pemandu Perodua Kancil masih mendapat rawatan di Hospital Serian,” katanya.

Kes masih dalam siasatan oleh Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Serian Inspektor Elvis Saeng. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA