Tiga Gajah Liar Dipindah Ke Hutan Simpan

Gambar Hiasan
IPOH: Tiga gajah liar yang diberi nama Mek Chemor, Mat Tambun dan Mat Kinta dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum, Gerik kira-kira 140 kilometer dari sini.

Gajah berkenaan yang ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di kawasan Ulu Kuang, Chemor Rabu lalu.

Proses pemindahan itu turut mendapat bantuan daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang, membabitkan kira-kira 18 pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua jabatan itu.

Ketua Unit Gajah, PKGK, Nasharuddin Othman berkata, operasi menangkap gajah bermula sejak 29 September lalu sebelum anggotanya mengesan tiga ekor gajah berkenaan sehari kemudian.

“Proses pemindahan mengambil masa lima hari selepas ditangkap berikutan proses itu memerlukan bantuan dua ekor gajah iaitu Abot dan Rambai yang didatangkan khas dari Unit Gajah PKGK,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nasharuddin berkata, ketiga-tiga gajah yang ditangkap dipercayai sesat daripada habit asal di Hutan Simpan Korbu.

“Hari ini kita pindahkan ibu gajah dengan berat kira-kira tiga tan manakala dua lagi anak gajah dianggarkan berumur dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun ke Hutan Simpan Royal Belum bagi membolehkan gajah itu hidup dalam keadaan selesa di habitat yang sesuai.

“Bagaimanapun, kita masih mengesan saki-baki gajah yang dianggarkan kira-kira empat hingga lima ekor lagi yang berkeliaran di kawasan ini dan gajah mungkin boleh sampai hingga ke Tanjung Rambutan,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA