Tidak Sempat Terima Keputusan UPSR, Maut Kemalangan Di Sibu


SIBU: Seorang murid lelaki tahun enam yang menunggu keputusan UPSR maut apabila kereta dinaikinya bersama dua murid lain dan seorang guru wanita terbabit dalam kemalangan di Batu 21, Stapang dekat sini semalam.

Mangsa dikenali Leong Gao Yi, 12, bersama dua lagi murid menaiki kereta Perodua Myvi dipandu guru wanita berusia 29 tahun dikatakan dalam perjalanan berkonvoi dari SK Chong Boon, Mukah ke Sibu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya kereta dinaiki mangsa dilaporkan hilang kawalan ketika bergerak turun dari susur jalan melalui selekoh berhampiran SMK Luar Bandar sebelum terbabas ke parit besar.

Katanya polis bergegas ke tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans Hospital Sibu.

Difahamkan mangsa bersama 13 murid lain mengikuti rombongan sekolah itu menyertai program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) peringkat negeri di SMK Sibu Jaya bermula semalam hingga 28 Oktober ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA