Tidak Akan Berjanji, Tetapi Akan Berusaha - Nancy



SIMUNJAN : Untuk mengetahui masalah rakyat kawasan serta mencari penyelesaian demi kesejahteraan penduduk, pemimpin perlu kerap turun padang dan berinteraksi, bersua muka dan berbincang dengan penduduk tanpa perlu berjanji tetapi terus berusaha untuk memenuhi keperluan pembangunan kawasan.

Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Nancy Shukri berkata, oleh itu beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan seperti N24 Sadong Jaya, N25 Simunjan dan N26 Gedong sentiasa berbincang untuk mengemaskini perancangan peruntukan yang telah diberi kerajaan untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan.

"Bukan setakat itu sahaja, Setiausaha Politik saya Mohamad Kamaluddin Effendi sering turun padang dan membuat tinjauan untuk mengenal pasti keperluan penduduk kampung.

"Oleh yang demikian, beberapa projek pembangunan telahpun diluluskan penduduk di kawasan menikmati kemudahan seperti kampung-kampung lain di Parlimen P200 Batang Santubong," katanya ketika berucap dalam upacara penyerahan cek untuk pembinaan Masjid Darul Amilin Kampung Tanjung Pisang.

Sebelum itu Nancy menyatakan bahawa Kampung Tanjung Pisang dahulunya berada di bawah kawasan DUN Sebuyau dan kini kampung tersebut menjadi sebahagian daripada kawasan DUN Simunjan selepas persempadanan semula kawasan-kawasan DUN Sarawak pada tahun ini.

"Kampung ini merupakan antara lima kampung iaitu Kampung Selangking, Tanjung Harapan, Sungai Apin dan Pantong yang dimasukkan ke dalam DUN Simunjan.

"Maka menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen memastikan pembangunan dan kemudahan kampung-kampung di bawah P200 Batang Sadong diberi keutamaan," ujarnya.

Menurut Nancy lagi, beliau mengetahui jumlah peruntukan tidak mencukupi. Oleh yang demikian beliau telah meminta Kerajaan Negeri untuk menambah lagi jumlah yang diperlukan dan permohonan tersebut diluluskan dengan lancar oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan jumlah RM500,000.

"Oleh itu projek pembinaan masjid tersebut adalah sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM500,000 dan RM100,000 adalah daripada Peruntukan Mesra Rakyat (PMR).

"Terdapat juga pruntukan lain yang telah diluluskn seperti baik pulih Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Harapan (RM100,000), baik pulih Tabika Kemas Kampung Sg Apin (RM30,000), bina baru tempat letak kenderaan di perkarangan Masjid Darul Taqwa Kampung Sg Apin (RM30,000) dan bina baru tempat letak kenderaan di SK Sg Apin (RM30,000)," tambahnya lagi.

Beliau menambah, terdapat juga peruntukan seperti membekal peralatan bantu mengajar dan perabot kelas Pra-Sekolah SK Sg Apin (RM10,000), membekal set kanopi kepada JKKK Kampung Pantong Melayu (RM15,000) dan membekal peralatan pinggan mangkuk dan memasak utuk JKKK Kampung Pantung Melayu (RM10,000).

Nancy turut berharap dengan adanya pembangunan infra yang akan dibina nanti dapat menyuntik semangat penduduk kampung di kawasan dan persekitarannya untuk bersama-sama berganding bahu dengan Ahli Parlimen memastikan keperluan rakyat dipenuhi.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA