Tiada Pelarian Rohingya Tiba Di Langkawi - APMM


PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Sabtu mengesahkan tiada pendaratan pelarian Rohingya di persisir pantai negara susulan maklumat sebelum ini bahawa empat buah bot membawa 200 pelarian Rohingya akan tiba di Malaysia.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar berkata pihaknya sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengawasi setiap bot yang menyusuri sempadan perairan negara khusus di Langkawi bagi memastikan tiada cubaan menyusup masuk dilakukan.

Beliau berkata pada 10 Okt lalu, pihak APMM menerima maklumat dari pihak polis yang mempercayai seramai 200 orang pelarian Rohingya sedang dalam pelayaran menuju masuk perairan Malaysia dengan menggunakan empat buah bot kecil.

Berdasarkan pengalaman lalu, kami mempercayai bahawa sekiranya perkara itu berlaku, berkemungkinan pelarian tersebut akan menukar arah pelayaran dan menuju ke negara jiran yang lain.

"Kami memandang serius perkara ini dan sebagai langkah awal, kami juga bertukar maklumat dengan pihak berkuasa negara jiran bagi memastikan sempadan maritim tidak dibolosi oleh sesiapa untuk memasuki negara dengan cara tidak sah.

"Dalam pemantauan yang dilakukan terhadap maklumat yang diterima ini, kami telah menggerakkan aset kapal dan bot bagi membuat rondaan di laut termasuk pemantauan melalui udara dengan menggunakan helikopter kami, disamping sentiasa mengawasi radar khususnya di kawasan yang dipercayai mereka akan mendarat," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Puzi meminta orang awam yang mempunyai maklumat bersabit kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan berkenaan perkara tersebut agar menghubungi Pusat Operasi Maritim di talian 03-89434001 atau talian 999. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA